Tuesday 30 October 2012

SN051 - HAJI DAN PENYATUAN UMAT ISLAM

[SN051] Pada tanggal 8 Januari ini umat Islam akan berkumpul di tanah suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji. Ia adalah merupakan manifestasi dari gharizah tadayyun atau naluri menyembah yang secara fitrah wujud di dalam manusia kepada Zat yang lebih sempurna, Tuhan yang mencipta mereka serta alam semesta. Naluri ini menggerakkan mereka dengan tenaga, masa dan harta untuk menyambut panggilan Allah tanpa imbalan material sedikitpun – mereka hanya mengharap redha Allah semata-mata. Umat Islam dari Malaysia tidak ketinggalan menyertai perhimpunan tahunan terbesar umat Islam sedunia ini yang telah berlangsung sejak 14 abad yang lalu dalam apa jua keadaan ekonomi, sosial dan politik umat Islam. Seramai lebih 26,000 jemaah haji Malaysia telah bertolak secara berperingkat ke tanah suci; sebahagian besarnya diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji.

Seperti tahun-tahun sudah, persiapan rapi telah dibuat untuk memastikan segala urusan ibadah haji berjalan dengan lancar. Untuk memastikan daya tahan dari segi fizikal para jemaah haji disediakan dengan kemudahan kesihatan yang baik melalui kemudahan klinik Tabung Haji berhampiran tempat penginapan mereka. Sebelum berangkat para jemaah akan diberi sekurang-kurangnya suntikan vaksin ACYW-135 untuk meningitis, influenza dan pneumokokus. Pihak kerajaan Arab Saudi juga telah mengambil langkah berjaga-jaga menghalang penyebaran wabak seperti demam denggi, batuk kering, kolera dan selsema burung.

SN050 - IMBASAN KEMBALI 2005 DAN AZAM BARU 2006

[SN050] Tahun 2005 telah menghampiri penghujungnya. Fajar 2006 bakal menyinsing dalam beberapa hari sahaja lagi. Segala persiapan telah diatur sejak awal-awal lagi. Pelbagai pesta keraian dan sebagainya telah dirancang untuk menyambut ketibaan Tahun 2006 ini. Pelbagai iklan, aktiviti dan tayangan dipaparkan di media akhbar, televisyen dan di corong-corong radio. Jualan murah juga tidak kurang memeriahkan lagi suasana. Bagi ibubapa dan pelajar sekolah, awal tahun baru ini adalah bermulanya penggal persekolahan. Segala persiapan telah dibuat. Inilah masa yang sesuai untuk membeli kelengkapan segala barang keperluan sehinggalah kepada barang pelengkap dan barang mewah seperti menukar semua perabut untuk menyambut dan menikmati suasana tahun baru. Hijrah... Perubahan...

Pada 24 Disember 2005 yang lepas kami telah mengadakan sebuah seminar memperkenalkan sistem-sistem Islam. Islam, sebagai sebuah ideologi, pada hakikatnya mampu menyelesaikan kesemua permasalahan hidup manusia. Adalah suatu yang amat menggembirakan apabila umat bersetuju bahawa Khilafah mesti ditegakkan semula dan menyokong usaha ke arahnya. Apa yang menyedihkan adalah, majlis sebegini tidak mendapatkan sambutan yang diharapkan. Biasanya, bagi majlis ilmu seperti ini, 20-30 orang sahaja yang datang. Dan kadang-kadang lebih ramai ahli jawatankuasa dari jumlah orang ramai yang datang. Sudah cukup membanggakan yang datang mencecah angka ratusan. Tetapi jumlah ini amatlah kecil berbanding sambutan tahun baru yang acapkali dihadiri ribuan pengunjung hingga tak cukup ruang. Hakikatnya, masih ramai umat Islam yang masih belum mengenali dengan jelas sistem-sistem Islam. Malah ramai yang masih membelakangkannya, kagum dengan sistem-sistem dan pemikiran kufur yang diamalkan di dalam masyarakat hari ini. Realiti peristiwa-peristiwa yang berlalu di sepanjang 2005 ini cukup jelas menggambarkan keadaan ini.

SN049 - PILIHANRAYA : Sampai Bila Akan Menjadi Topeng Demokrasi

[SN049] Peminat politik tanahair mahupun antarabangsa tentunya sedang tekun mengikuti perkembangan semasa dunia politik hari ini. Tatkala ini boleh dikatakan di mana-mana sahaja kedengaran berita perkembangannya - didada-dada akhbar mahupun paparan media massa lainnya. Baru-baru ini, sebagai contoh, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menerima tamparan hebat yang bakal menggugat kekuatan dan pengaruhnya di Kelantan setelah tewas dalam Pilihanraya Kecil DUN N12 (Pengkalan Pasir) ditangan Calon UMNO (BN) – Hanafi Mamat pada 6hb. Disember yang lepas. Biarpun jelas laporan sesetengah pihak bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut dicemari dengan pelbagai masalah seperti isu ‘Pengundi Hantu’, namun keputusan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) adalah muktamad pada 7hb Disember 2005 yang memihak kepada UMNO (BN). Semua pihak akur pada keputusan itu biarpun ada yang menerimanya dalam kepahitan.

Dalam perkembangan politik antarabangsa pula, pilihanraya Parlimen Mesir diwarnai dengan pelbagai ‘pencemaran’ setelah dilaporkan bahawa pihak kerajaan yang memerintah mengenakan tindakan keras terhadap penyokong dan pendokong parti pembangkang, Ikhwanul Muslimun. Malah ada desas-desus yang mengatakan bahawa Amerika Syarikat turut campurtangan dengan mendesak pihak kerajaan Mesir mengubah beberapa undang-undang pilihanraya agar demokrasi dan prosesnya tidak ‘dicemar’ secara ‘terang-terangan’ yang boleh membuahkan kemenangan pihak pembangkang dalam pemilihan Parlimen negara itu.

SN048 - FORUM KEAMANAN SEJAGAT PERDANA 2005

[SN048] Dunia di abad ke-21 ini diwarnai dengan seribu satu bentuk konflik dan keganasan. Keamanan yang diidamkan masih lagi sebuah mimpi kabur. Tekanan yang semakin memuncak akibat dari senario politik dunia yang dikaitkan dengan aktiviti keganasan, penindasan keagamaan, isu alam sekitar yang semakin meruncing dan pencabulan ’hak asasi’ manusia membuktikan peri pentingnya mencari susur-galur dan akar-umbi punca konflik dengan mengaitkan keamanan dan keselamatan, kemiskinan dan masalah alam sekitar [www.perdana4peace.org]. Lantaran dari itu, Yayasan Kepimpinan Perdana telah menganjurkan Forum Keamanan Sejagat Perdana yang diadakan dari 15 hingga 17 haribulan Disember 2005. Forum bertemakan ”Peace Dividends, War Profits” yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menghimpunkan ketua-ketua negara, bekas ketua negara serta ahli-ahli perniagaan dan akademik terkenal untuk sama-sama mengadakan sesi percambahan fikiran mengenai cara praktikal untuk melangkah ke hadapan bagi mencapai dunia yang aman [www.bernama.com 2 Disember 2005].

SN047 - STOP AIDS! KEMBALI KEPADA ISLAM

[SN047] STOP AIDS, KEEP THE PROMISE (Hentikan AIDS, Tetapkan Janji) adalah tema Hari AIDS sedunia yang dilangsungkan pada 1 Disember 2005. Sambutan ini bertujuan memberikan harapan kepada insan yang menghidap HIV untuk menikmati hidup yang lebih baik dan bebas daripada stigma yang sering membelenggu mereka selama ini. Di samping itu, diharapkan agar semua pihak akan mendapat maklumat meluas mengenai wabak AIDS yang disebabkan oleh penyebaran virus HIV. Majlis AIDS Malaysia dan Kementerian Kesihatan juga tidak ketinggalan menyambutnya, cuma tiada sambutan di peringkat nasional tetapi lebih kepada inisiatif tiap-tiap negeri di Malaysia.

Tema ini juga bertujuan agar tumpuan diberikan terhadap komitmen untuk mencari titik noktah AIDS disegenap peringkat individu, masyarakat, organisasi mahupun kerajaan. Jadi, topik perbincangan hangat sambutan ini adalah meneruskan penyelesaian yang sedia ada dengan menambahkan komitmen yang luar biasa untuk melawan ancaman AIDS. Setiap tahun banyak cara baru yang telah diperkenalkan; bermula dengan pengenalan kondom dan jarum percuma, seks sihat, jarum yang bersih serta suntikan dadah yang berdos rendah, namun hakikatnya, pertambahan bilangan penghidapnya terus mendebarkan dada kita. 

Punca Aids

AIDS atau Acquirred Immune Deffiency Syndrome yang disebabkan oleh virus HIV (Human Immunodeficiency Virus) yang merosakkan sistem pertahanan badan. Akibatnya seseorang itu akan mudah dijangkiti penyakit yang sebelumnya tidak berbahaya menjadi amat merbahaya selepas jangkitan dan boleh mendatangkan maut. Sehingga kini masih belum ditemukan penawar yang mampu mengubati penyakit ini. 

SN046 - POLEMIK KETUK KETAMPI

[SN046] Dalam kesibukan polis dan Jabatan Imigresen memburu 50,000 pelancong China yang telah tamat pas lawatan ke Malaysia, kita dikejutkan pula dengan isu pembogelan seorang warga China oleh seorang anggota polis wanita di Balai Polis Petaling Jaya. Isu ini telah menggamatkan Sidang Parlimen Malaysia. PM sendiri mengatakan bahawa isu ini amat memalukan dan pihak polis Malaysia sendiri mengakui bahawa kejadian ini sememangnya benar dan berlaku di Balai Polis PJ dan dilakukan oleh bukan seorang sahaja pegawai polis [Mingguan Malaysia 27 November 2005]. 

Media massa Barat juga turut menggunakan isu ini untuk menyerang ideologi Islam. Alangkah kejinya, sekiranya benar, pihak yang menyelitkan 'sound-track’ bacaan ayat Al-Quran untuk adegan berbogel dan 10 kali ketuk-ketampi yang memakan masa 1 minit 12 saat itu [3]. Pihak BBC mengulas ” The officer, who wears a Muslim headscarf, stands in front of the woman, who is forced to strip naked, grasp her ears and squat repeatedly. The pictures are accompanied by the sound of verses from the Koran being recited, although it is unclear if this would have been audible to the woman”. Jika selama ini dalam kempen dan propaganda mereka untuk menyerang ideologi Islam mereka seringkali mengaitkan Islam dan keganasan, kali ini mereka juga tidak melepaskan peluang untuk membentuk padangan umum yang buruk tentang Islam melalui ungkapan seperti “...officer who wears a Muslim headscarf”.

SN045 - KAPITALISME IDEOLOGI TERAKHIR?

[SN045] Setelah runtuhnya Komunisme, Kapitalisme merupakan satu-satunya ideologi yang masih berkuasa di dunia. Ketika itu tiada pesaing ideologi lain yang kelihatan akan muncul pada masa akan datang. Francis Fukuyama dengan yakin mengatakan bahawa Kapitalisme adalah penghujung evolusi ideologi manusia, atau bentuk sistem pemerintahan manusia yang terakhir, di mana beliau menggelarkannya sebagai ‘the end of history’ - tidak ada ideologi lain akan muncul setelah itu. Dengan tanggapan ini maka tamatlah peluang bagi ideologi lain untuk bangun semula. Namun hakikatnya, adalah terlalu awal bagi Fukuyama untuk berkesimpulan begitu. Sekiranya beliau menunggu beberapa dekad lagi mungkin beliau tidak akan membuat pernyataan yang memalukan itu. 

Hari ini, kita boleh menyaksikan betapa umat manusia secara umumnya telah menolak ideologi Kapitalisme. Yang terbaru, kira-kira 20,000 penentang Bush dan APEC menunjuk perasaan di Seoul bagi membantah kehadiran pemimpin negara ekonomi terbesar itu. Mereka menentang globalisasi dan melihat APEC sebagai platform bagi meneruskan agenda Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang hanya menguntungkan pihak tertentu sahaja. Sebelum itu, 100 ketua kesatuan berkata, mereka akan membantah APEC dan kehadiran Bush. Malah di mana saja Bush berada, umat manusia akan mengadakan demonstrasi, memanifestasikan kebencian mereka terhadap polisi-polisi kapitalis Bush dan dunia Barat secara umum.

Penyebaran Kapitalisme

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa Bush dan kuncu-kuncunya telah berjaya menyebarkan kapitalisme – kekalahan Afghanistan dan pilihanraya ’demokratik’ yang pertama di sana, penduduk Palestin yang telah memilih pemimpin yang lebih moderat, Abu Abbas yang lebih cenderung untuk bekerjasama dengan Israel, penduduk di Iraq yang sebelum ini begitu berani menentang pencerobohan tentera Amerika telah turun mengundi – merupakan antara manifestasi seolah-olah kapitalisme telah mula menunjukkan buah di tanah-tanah kaum muslimin. Di Lebanon, berlaku demonstrasi jalanan yang menuntut pengunduran tentera Syria dan memansuhkan kerajaan pro-Syria. Tunas-tunas ’demokrasi’ juga dilihat seolah-olah telah mula merebak ke kerajaan diktator di Riyadh dan Kaherah melalui reformasi ’demokrasi’nya. Ditambah pula dengan peristiwa Revolusi Ros di Georgia, Revolusi Oren di Ukraine dan Revolusi Tulip di Kyrgyzstan. Selain itu, kita juga menyaksikan bagaimana Damsyik dan Tehran dikenakan tekanan oleh Barat, terutamanya Amerika. Kita di sini juga tidak kurang hebatnya, isu pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir mendapat perhatian yang begitu besar - setiap hari ada sahaja berita yang disiarkan di media. Adakah ini semua menunjukkan semua umat Islam telah benar-benar terpengaruh dan menerima pakai ideologi Kapitalisme dengan hati yang terbuka?

Kesemua peristiwa ini, tidak kira yang berlaku di tanah kaum muslimin ataupun di Barat kelihatan seolah-olah menunjukkan demokrasi-kapitalisme sedang bergerak maju ke hadapan. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya kita melihat para penyokong agenda Bush merasa begitu selesa. Presiden Bush dalam ucapannya baru-baru ini di Universiti Pertahanan Kebangsaan dengan angkuh telah menyatakan; “Jutaan orang mendapat kebebasan mereka, dan jutaan lagi akan mengecapi impian kebebasan mereka yang tidak boleh diketepikan. Semboyan kebebasan telah dibunyikan. Dan semboyan tersebut tidak menyeru untuk menyerah kalah”

Benarkah Kapitalisme Sedang Maju Kehadapan?

Meskipun gambaran di atas seolah-olah menunjukkan bahawa Kapitalisme akan terus menguasai dunia, ada pendapat yang menyatakan sebaliknya - bahawa setelah September 11, Kapitalisme sedang menuju kehancuran. Namun ini dipandang tidak relevan oleh Bush, Blair dan penyokongnya. Bagi mereka, semua peristiwa ini membuktikan kewajaran keputusan Bush menceroboh Iraq. Sekiranya kita mendalami setiap peristiwa yang digambarkan sebagai kejayaan penyebaran Kapitalisme ini, kita akan dapati ia membuktikan hal yang sebaliknya – bahawa umat sudah menolak idea-idea Barat. Hakikatnya, Kapitalisme sedang menuju keruntuhan. Keruntuhan yang dimaksudkan di sini bukanlah dari sudut ketenteraan tetapi dari sudut politik dan ideologi. 

Pernyataan bahawa Kapitalisme sedang bergerak kehadapan sebenarnya sedang dipertikaikan terutamanya oleh pemikir-pemikir Barat sendiri. Bagi mereka, apa yang dapat dilihat setelah September 11 adalah sebenarnya bertentangan dengan prinsip-prinsip dan nilai demokrasi Barat. Perang anti-keganasan didakwa sebagai peperangan untuk mempertahankan kebebasan - bukan sahaja sebagai tindakbalas akibat dari ribuan yang terkorban di WTC tetapi juga dianggap sebagai mempertahankankan nilai-nilai Barat - nilai yang telah lahir sejak berkurun lamanya akibat dari penentangan kaum filosof dan intelektual Barat terhadap pemerintahan kukubesi, pemerintahan beraja, fasisme dan komunisme. Namun, setelah 9/11 mereka telah melakukan perkara yang sebaliknya. Mereka telah meninggalkan prinsip asas yang mereka agung-agungkan itu dan memijaknya dengan kaki-kaki mereka sendiri.

Media kerapkali mendedahkan banyak kejadian-kejadian yang melibatkan penahanan tanpa bicara, penyiksaan kejam, perlecehan seksual, penyiasatan secara kejam dan ganas dan lain-lain lagi yang melibatkan tentera-tentera penjajah kafir Barat. Amerika telah menahan lebih 83,000 warga asing di Teluk Guantanamo di sepanjang tempoh empat tahun kempen antikeganasannya di Afghanistan. Dianggarkan 14,500 orang masih ditahan oleh AS, khususnya di Iraq [BH, 18/11/05] 

Di AS, penggubalan undang-undang Patriot dan yang terkini, kerajaan pimpinan Blair yang telah mengeluarkan empat bil bagi Undang-undang anti-pengganas yang baru merupakan manifestasi keruntuhan Kapitalisme yang memakan diri mereka sendiri. Bil ini antara lain mengatakan:

1) Membolehkan penahanan suspek pengganas selama 90 hari (sebelum ini 14 hari)
2) Membolehkan kerajaan mengharamkan pertubuhan bukan pengganas
3) Mengharamkan segala seruan yang bertujuan menjatuhkan pemerintahan dictator Barat
4) Melayan demonstrasi aman seperti pengganas 

Dengan bil ini, polis boleh menahan sesiapa sahaja yang disyaki pengganas tanpa sebarang pembelaan meskipun tanpa sebarang bukti yang nyata – dan Barat mendakwa bahawa mereka mensucikan hak individu!!!

Tony Blair mengatakan bahawa kebebasan awam yang paling agung adalah hak untuk hidup dan menjaga keselamatan bangsa. Jika hak untuk hidup benar-benar merupakan suatu hak yang sangat penting, mereka sebenarnya tidak perlu berperang untuk mempertahankan prinsip asas ini dan meletakkan anak-anak mereka dalam risiko ditengah-tengah konflik peperangan. Justifikasi ‘menjaga keselamatan bangsa’ adalah hujjah lapuk yang sejak dahulu digunakan oleh pemerintah-pemerintah diktator dan kukubesi. Ia digunakan secara berterusan oleh semua rejim diktator dari Harare, Pyongyang hinggalah yang terbaru di Thailand untuk mempertahankan polisi kukubesi mereka. 

Sebenarnya, manifestasi ’kemenangan’ dan pengaruh Barat adalah merupakan bibit-bibit keruntuhan ideologi mereka yang mereka sendiri tidak sedari.

Pilihanraya Bukan Bukti

Adalah merupakan suatu yang diketahui umum bahawa pilihanraya yang diadakan di bumi kaum Muslimin sebenarnya tidak bebas dan adil. Pilihanraya baru sahaja diadakan di Afghanistan, Palestin, Iraq dan ribuan rakyat keluar mengundi. Walaubagaimanapun pilihanraya-pilihanraya ini sebenarnya dikuasai oleh Barat – jelasnya, ia diadakan ketika mereka berada di bawah kawalan penjajah. Hakikatnya, pilihanraya seperti ini adalah tidak sah, kerana pilihanraya untuk membentuk kerajaan atau kepimpinan ini masih dikawal oleh kuasa penjajah luar. Di Iraq sebagai contoh, undang-undang Pentadbiran Transisi di Iraq dibuat bertujuan untuk melarang parti yang tidak sekular daripada terlibat di dalam pilihanraya. Pemerintahan Mesir pula telah menahan lebih dari dua ratus pendukung kelompok pembangkang Ikhwanul Muslimin, sebelum dimulakan pemilihan tahap kedua. Calon dari Ikhwanul Muslimin tampil sebagai calon bebas dalam pemilihan tahap pertama, dan mereka berjaya mendapatkan tiga puluh empat kursi, lebih dua kali ganda dibandingkan dengan kerusi parlimen sebelumnya [BBC, 20/11/05]. Ini adalah bagaikan perlawanan yang peraturannya telah ditetapkan untuk memastikan keputusan yang dikehendaki. Oleh itu adalah tidak memeranjatkan apabila pemimpin sekular yang pro-Barat terpilih di Kabul, Gaza dan Baghdad.

Pilihanraya juga tidak boleh dianggap sebagai kejayaan penyebaran ideologi Kapitalis. Ini adalah kerana pilihanraya bukanlah keunikan politik Barat. Ia boleh juga datang dari ideologi lain. Jutaan umat Islam yang turun mengundi tidak boleh dilihat sebagai tanda sokongan kepada ideologi sekular-demokrasi. Mereka terdorong melakukannya lebih kerana penolakan terhadap pemerintahan diktator dan penindasan. Daripada kajiselidik yang diterbitkan pada Februari 2005 oleh Pusat Pengajian Stategik (CSS), Universiti Jordan, menunjukkan bahawa terdapat jurang perbezaan yang besar dalam penerimaan idea politik Barat. Daripada jawapan kepada soalan-soalan kajiselidik yang ditanyakan, ramai yang tidak setuju dengan Barat; orang Arab mempercayai bahawa nilai akhlak mereka sangat bertentangan dengan budaya Barat. Mereka melihat dasar luar Barat adalah untuk kepentingan diri Barat sendiri dan tidak menghormati kedaulatan negara lain. Barat juga dilihat sebagai mengenakan polisi mereka ke atas negara lain dengan cara yang merendahkan kemuliaan negara tersebut. Pandangan ini juga dikongsi oleh bukan sahaja negara Arab tetapi juga Brazil, Korea Selatan dan Rusia. Hasil kajian ini juga menunjukkan bahawa dua pertiga responden di Jordan, Mesir dan Palestin tetap percaya hanya Syari’ahlah satu-satunya sumber perundangan dan sepertiga lagi percaya bahawa Syari’ah patut menjadi sumber perundangan. Terlalu sedikit yang berpandangan bahawa Syari’ah tiada peranan dalam pemerintahan.

Tambahan pula, perubahan iklim politik dunia Islam bukanlah produk selepas berlakunya pencerobohan Iraq atau perkembangan ideologi Kapitalis. Di Palestin, ia berlaku kerana kematian Arafat, bukannya disebabkan tertangkapnya Saddam. Demonstrasi di Beirut adalah tindakbalas kemarahan atas kematian bekas Perdana Menteri, Rafiq Hariri bukannya hasil dari mereka menyaksikan proses pilihanraya di Iraq dan pemilihan presiden Afghanistan adalah hasil penjajahan secara ketenteraan dari luar, bukannya akibat dari perubahan ‘demokrasi’.

Agenda Sebenar Amerika dan Barat

Agenda sebenar Amerika di dunia Islam bukanlah untuk menyebarkan kebebasan dan demokrasi seperti yang didakwanya. Hakikatnya, apa yang mereka lakukan adalah untuk menjaga kepentingan mereka sendiri serta menghalang daripada golongan Muslim yang ikhlas (yang mereka gelar sebagai puak radikal yang dahagakan darah) daripada menegakkan Islam yang hakiki. Objektif terakhir Barat, terutamanya Amerika bukanlah untuk memberi kehidupan yang lebih baik bagi rakyat Iraq atau Afghanistan; mereka hanya ingin menetapkan strategi bagi menjaga kestabilan, keselamatan dan penguasaan mereka ke atas dunia. Ia boleh dibuktikan dari dua sebab: Pertama, nyawa rakyat negara lain tiada nilai di mata Amerika. Yang dipentingkan adalah keuntungan mereka sahaja. Lantas, kebaikan untuk siapa? Sudah tentu bukan untuk rakyat Iraq atau Afghanistan. Kedua, menggembar-gemburkan bahawa pelancaran peperangan anti-keganasan ini adalah atas nama kebebasan dan kemanusiaan - namun terus menutupi agenda sebenar mereka. Perbelanjaan sebanyak AS$300 bilion itu sebenarnya adalah sebagai sebuah pelaburan – bagi mendapatkan buruh yang murah, kos komoditi rendah dan jaringan pasaran yang luas. Inilah tujuan mereka yang sebenarnya – penjajahan dan menjaga kepentingan ekonomi mereka. 

Halangan dan ancaman kepada pencapaian visi Amerika termanifestasi pada kelompok alternatif yang menyerukan kejatuhan rejim-rejim diktator boneka dunia Islam. Untuk menghalang kelompok ‘radikal’ ini dari mengambilalih kuasa, satu paradigma baru perlu diwujudkan di Timur Tengah supaya keadaan boleh menjadi kondusif untuk menjaga kepentingan utama Amerika. Pilihanraya dengan proses yang terkawal merupakan salah satu jalan terbaru mereka. Mereka mempromosikan ilusi kebebasan dan hak pemilihan rakyat sedangkan pada waktu yang sama menentukan siapa yang akan menjadi pemimpin boneka yang boleh mereka perkotak-katikkan. Model ini telah dijalankan di Pakistan dengan Musharafnya dan Hamid Karzai di Afghanistan. Iraq dan Mesir akan mengikut jejak yang sama sepertimana yang telah dikatakan oleh Seamus Milne. 

Khatimah

Kapitalisme bukanlah ideologi terakhir. Kita kaum Muslimin wajib meyakini bahawa Islam adalah mabda’ yang tertinggi dan tiada ideologi lain yang lebih baik daripadanya. Ia akan bangkit semula sebelum hari kiamat nanti. Hadis riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi memberikan isyarat lima tahapan perjalanan sejarah umat Islam.

1) Zaman Nubuwwah - zaman kenabian.
2) Zaman Khilafah ‘ala Minhaj Nubuwwah
3) Mulkan Adhan - Penguasa yang menindas 
4) Mulkan Jabbariyyan - Penguasa sekular
5) Kembali zaman Khilafah ‘ala Minhaj Nubuwwah

Dengan izin Allah Subhanahu wa Ta’ala, Islam akan muncul semula dan memimpin dunia dengan sistem kehidupan yang diredhaiNya.

SN044 - SERANGAN BOM BERANI MATI - Tuduhan dan Hakikat Perjuangan

[SN044] Setelah bertahun-tahun diburu, akhirnya Dr Azhari Husin, 48, seorang ahli kumpulan Jemaah Islamiyyah (JI) yang paling dikehendaki oleh Polis Indonesia terkorban bersama-sama dua orang pembantunya di dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah yang terletak di Batu Malang, Jawa Timur pada 9hb November yang lalu. Beliau didakwa menjadi perancang utama di dalam beberapa siri serangan bom di Indonesia. Pada hari yang hampir sama, berlaku letupan bom di tiga buah hotel di Amman, ibu negara Jordan. Di dalam kejadian tersebut, seramai 59 orang termasuk 11 rakyat asing terkorban manakala lebih 100 lagi cedera. Letupan tersebut melibatkan dua hotel mewah, Hotel Radisson SAS dan Hotel Grand Hyatt. Satu lagi letupan berlaku di Hotel Days Inn yang sering menjadi tumpuan golongan tokoh-tokoh korporat dan pelancong Barat [Utusan Malaysia 10-11hb Novembar 2005]. 

Dr. Azhari pada hakikatnya merupakan manfestasi daripada gerakan Islam yang lahir daripada kebencian terhadap negara-negara kuasa besar seperti Amerika dan British yang tidak henti-henti melakukan pencerobohan dan campurtangan di dalam dunia Islam. Kebencian tersebut ditunjukkan melalui siri serangan bom ke atas lokasi-lokasi kepentingan Barat. Walaupun begitu, seringkali terdapat kesangsian di dalam beberapa kejadian tersebut sehingga menyebabkan kita terfikir adakah pengeboman ini benar-benar berjaya menakutkan Amerika dan sekutunya ataukah mereka pula yang mengambil kesempatan daripada serangan-serangan tersebut?

Kesangsian ini ada asasnya berdasarkan beberapa peristiwa yang berlaku sebelum ini. Terdapat dua peristiwa yang menunjukkan tidak semua serangan bom ke atas orang awam itu dilakukan oleh orang Islam. Peristiwa pertama merujuk kepada kejayaan penduduk tempatan Iraq menangkap dua orang rakyat Amerika yang menyamar dengan memakai pakaian Arab ketika cuba untuk meletupkan bom jerangkap samar pada sebuah kereta di tengah-tengah kawasan penempatan penduduk awam di Barat Baghdad pada 11hb Oktober lepas. Namun begitu tidak berapa lama kemudian kawasan tersebut tiba-tiba dikepung oleh tentera-tentera Amerika yang kemudiannya membawa kedua-dua rakyat Amerika itu pergi, meninggalkan para penduduk kehairanan [ al Quds Press]

Peristiwa kedua merujuk kepada penangkapan dua anggota perisikan British oleh polis Iraq di al Basra, sebuah bandar di selatan Iraq. Kedua-dua perisik itu dituduh cuba menyebabkan letupan di al Basra. Tetapi kedua-duanya telah berjaya dilepaskan daripada tahanan oleh tentera-tentera British dengan menggunakan kereta kebal. Peristiwa ini telah menjejaskan hubungan antara pihak polis Iraq dan tentera British [ al Quds Press].

Kedua-dua peristiwa di Iraq itu menimbulkan persoalan kepada kita, siapakah yang sebenarnya melancarkan siri serangan bom ke atas penduduk awam di Iraq selama ini? Hakikatnya, kejadian-kejadian ini merupakan contoh-contoh jelas bagaimana Amerika dan British mencetuskan ketidakstabilan di dunia Islam agar mereka dapat terus campurtangan di dalamnya.

Kewujudan skuad pengebom berani mati dalam gerakan Islam seperti Hamas dan Jemaah Islamiyyah (JI) telahpun diketahui umum. Mereka ini wujud akibat dari perasaan tanggungjawab atas kesengsaraan yang melanda dunia Islam pada ketika ini dan merasakan perlu melakukan sesuatu untuk membela nasib umat Islam. Demi untuk membela umat Islam, mereka sanggup untuk mengorbankan jiwa mereka dan mereka yakin bahawa tindakan tersebut diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. 

Amerika kemudiannya bertindakbalas melalui pendekatan ‘reverse psychology’ - memutarbalikkan kenyataan itu dengan mengatakan ia adalah suatu perbuatan ganas semata-mata dan tidak ada kena-mengena dengan ajaran Islam. Bahkan propaganda mereka itu menjangkau lebih jauh dari itu - mereka menganggap bahawa sebarang slogan yang mengutuk atau membenci tindakan mereka adalah seruan-seruan yang boleh mencetuskan keganasan dan oleh itu ia juga dikatakan sebagai sesuatu yang ganas. Akibatnya sesiapa yang mengkritik dan melaungkan slogan anti-Amerika akan dilabel sebagai pencetus keganasan. Jika mengkiritik British pula, seseorang itu akan dianggap penjenayah dan boleh ditangkap. Menyuarakan pendapat yang bertentangan dengan Barat dianggap fundamentalis. Menyuarakan pandangan yang bertentangan dengan pemimpin yang menerapkan sistem selain daripada Islam dianggap pengganas dan mengancam keselamatan masyarakat. Maka di manakah prinsip kebebasan bersuara yang menjadi asas sistem demokrasi Barat? Adakah prinsip ini benar-benar wujud atau sekadar menjadi kempen atau slogan Barat yang ‘mempersonakan’?

Sikap Umat Islam

Pada masa ini, pelbagai pihak menuding jari ke arah al Qaeda kerana mendakwa merekalah yang menjadi dalang di sebalik kejadian di Amman, Jordan. Hakikatnya, sebagai seorang Muslim, kita juga tidak terlepas daripada kesan tuduhan tersebut. Sebagaimana yang menimpa umat Islam di Eropah, khususnya di Britain yang hidup di dalam kebimbangan kerana masyarakat Barat mula bersikap syak wasangka terhadap mereka. Umat Islam dicaci dan bahkan diancam secara fizikal. Umat Islam tidak lagi bebas untuk bergerak di negara-negara barat sebagaimana dahulu. Perilaku setiap Muslim diperhati dan disiasat jika keadaan memerlukan. Barat dilihat mempunyai pelbagai justifikasi untuk menyerang kaum Muslimin dengan keganasan-keganasan yang berlaku ketika ini. Maka untuk berlepas diri, ramailah pemimpin dan kaum Muslimin yang turut mengutuk orang-orang Islam yang terlibat di dalam siri serangan bom ini. 

Memang benar, Islam tidak mengizinkan sebarang tindakan ganas yang boleh membunuh orang-orang awam yang tidak berdosa, tetapi pada masa yang sama, Islam juga tidak membolehkan kita menuduh orang lain tanpa mendatangkan bukti-bukti yang nyata hanya semata-mata untuk berlepas diri. Tanpa disedari atau tidak, dengan tindakan seumpama ini, kaum Msulimin telah mengikut telunjuk Barat dan seterusnya menyebabkan orang Islam yang lain diperlakukan dengan undang-undang rimba ciptaan Barat. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa”[TMQ Al Hujurat (49):12]

Umat Islam seharusnya menyedari bahawa pada hari ini, kita juga sebenarnya membenci tindakan-tindakan kaum kuffar Barat sepertimana kebencian yang ada pada Dr Azhari dan rakan-rakan seperjuangannya serta kita ingin sekali melihat bilakah Amerika dan sekutu-sekutunya akan dikalahkan oleh Islam dan seterusnya keamanan di bumi kaum muslimin dikembalikan. 

Namun harus kita ingati bahawa sampai bila-bila pun umat Islam tidak akan mampu menentang Amerika dan sekutu-sekutunya selagi mereka berada di dalam keadaan yang berpecah-belah. Hanya dengan penyatuan di bawah sebuah kepimpinan politik sahajalah umat Islam akan berupaya untuk berhadapan dengan kuasa-kuasa besar ini. Apa yang penting, kita mestilah menetapkan keyakinan dan berpegang teguh kepada Islam. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Mengapa kami tidak bertawakal kepada Allah padahal dia telah menunjukkan jalan kepada kami, dan kami sungguh-sungguh akan bersabar terhadap gangguan-gangguan yang kamu lakukan kepada kami. Dan hanya kepada Allah saja orang-orang yang bertawakkal itu berserah diri” [TMQ Ibrahim(14):12]

Sesunguhnya tidak cukup bagi kita untuk hanya berdoa dan bertawakkal tanpa berusaha. Usaha membina semula negara Islam yang telah diruntuhkan 81 tahun yang lalu bukanlah sesuatu yang mudah, namun begitu, bukanlah sesuatu yang bersifat mustahil. Pada waktu yang sama, dalam menegakkan semula Daulah Islam ini, kita haruslah dengan teliti memerhatikan agar usaha ini dilaksanakan menurut tareqah yang ditunjukkan oleh Rasululllah Sallallahu ‘alaihi wasallam 100% dan tidak terperangkap di dalam sistem yang ada pada hari atau ‘dipaksa’ mengikut tareqah yang bertentangan dengan syara’.

Tareqah Rasulullah

Pada ketika ini, banyak gerakan Islam bergerak dengan pelbagai tareqah yang berbeza dalam usaha untuk menegakkan kembali syiar Islam. Persoalannya, bagaimana kita dapat membuat keputusan yang manakah berada pada jalan yang benar? Apa yang pasti, Rasulullah saw tidak pernah menganjurkan sebarang tindakan kekerasan ke atas penduduk kafir Mekah ketika peringkat awal dakwah baginda walaupun ketika itu terdapat kaum Muslimin yang terbunuh akibat disiksa oleh pemuka-pemuka Quraisyh. Tareqah Rasulullah inilah yang merupakan satu-satunya kaedah yang benar untuk mengembalikan kehidupan Islam yang amat kita rindui sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

"Sesunggguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmah) Allah dan (Kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah" [TMQ Al Imran(3):21]

" Katakanlah : jika kamu (benar-benar) mencintai Allah ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu" [TMQ Al Imran (3):31]

"Apa saja yang diberikan Rasul kepadamu terimalah dia, dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah " [TMQ Al Hasyr (59):7]

Sepertimana amalan-amalan lain di dalam Islam, dakwah juga tidak terlepas daripada ketetapan-ketetapan yang telah ditentukan oleh Syara’. Izin dakwah hanya diperolehi daripada Allah, bukannya daripada yang lain. Melalui tareqah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah, para pemikul dakwah harus bersikap terbuka, berani, jelas dan menentang segala sesuatu yang bertentangan dengan Islam, baik ia berupa agama, ideologi, pendapat, konsep, sistem, kebiasaan mahupun tradisi. Matlamat dakwah adalah untuk mengembalikan kehidupan Islam yang sebenar ke dalam masyarakat sebagaimana yang dikehendaki oleh Syara’. 

"Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang di turunkan Allah " 
[TMQ Al Maidah (5) : 49].

Menelusuri sirah Rasulullah, kita akan dapat menyimpulkan bahawa tareqah yang ditempuh baginda dapat dibahagikan kepada tiga tahap yang utama;

(i) Tahap Pembinaan (Marhalah Tatsqif). Di dalam tahap dakwah ini, dakwah dijalankan dengan menumpukan kepada pembinaan-pembinaan intensif (Tatsqif Murakkaziy) di dalam halaqah-halaqah khusus untuk melahirkan kelompok-kelompok yang bersedia untuk memikul dakwah.

(ii) Tahap Interaksi dengan umat (Marhalah Tafa’ul). Ia dijalankan tanpa sebarang tindakan fizikal/keganasan dalam rangka untuk memperjelaskan pemikiran dan penyelesaian daripada Islam kepada umat melalui pembinaan-pembinaan umum (Tatsqif Jama’iy) serta mendorong mereka agar turut serta berganding bahu dengan para pemikul dakwah untuk mengembalikan kehidupan Islam yang sebenar di dalam masyarakat dan negara.

(iii) Tahap Penerapan Hukum (Marhalah Tathbiq) melalui dokongan kuasa politik (Thalab al Nushrah). Pada peringkat ini, hukum Islam diterapkan secara sempurna dan dakwah Islam diserukan ke seluruh dunia.

Khatimah

Matlamat perjuangan gerakan-gerakan Islam seperti Hamas dan Jemaah Islamiyyah adalah untuk melihat syiar Islam kembali ditegakkan. Mewujudkan sayap perjuangan seperti skuad pengebom berani mati mungkin benar untuk suatu keadaan tetapi tidak di dalam keadaan yang lain. Ia merupakan suatu tindakan yang terpuji di dalam peperangan sebenar atau sebagai langkah mempertahankan diri tetapi tidak diizinkan sekiranya ia dilakukan di tempat-tempat awam dalam keadaan biasa. 

Keagungan syiar Islam hanya dapat dicapai melalui tareqah yang ditempuh oleh Rasulullah. Setelah itu, Islam diterapkan secara keseluruhan di dalam kehidupan peribadi dan masyarakat. Ini adalah pra-syarat untuk umat Islam merasai darjat kehidupan manusia yang bermaruah dan mulia. Penerapan Syariat Islam secara sempurna hanya boleh diperolehi dengan menegakkan semula institusi Khilafah Islamiyah melalui tareqah dakwah Rasulullah. 

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam diutus ke dunia bukanlah sekadar untuk memperbaiki akhlak dan mengajarkan aspek-aspek kerohanian semata-mata. Baginda diutus ke dunia untuk memenangkan Deen Islam ke atas seluruh Deen di dunia ini:

Dan Dialah yang telah mengutus RasulNya dengan petunjuk dan Deen yang benar untuk dimenangkanNya atas segala Deen (yang lain), walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai” [TMQ At Taubah(9):33] 

Wallahua’lam


RASUAH MUSUH NEGARA ! RASUAH PEROSAK BANGSA ! RASUAH MUSUH NO 1 !

Inilah antara slogan-slogan yang mudah ditemui di merata-rata tempat dalam Malaysia, terutama di paparan umum, media massa dan elektronik. Ianya merupakan manifestasi dari pemahaman masyarakat umum terhadap gejala tersebut yang kini membarahi kestabilan dan keamanan dunia amnya. Rasuah menjadi isu dan fokus penting dalam perbincangan agenda kenegaraan di mana-mana sahaja. Usaha pembenterasan pula dijalankan menurut keupayaan masing-masing, berlandaskan kepada kepemimpinan berfikir para pemimpin sesebuah negara.

Baru-baru ini Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Sulaiman Mahbob menyambut baik kempen antirasuah yang dilancarkan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM) melalui pemakaian lencana 'Saya Anti Rasuah' pada pakaian seragam anggota polis bersempena Hari Integriti Nasional. Sebelum ini, IIM juga telah menganjurkan latihan kepada beberapa pegawai PDRM yang dikelola oleh jurulatih pakar, Jeremy Pope, berkaitan dengan usaha membasmi rasuah serta memupuk integriti.

Ini merupakan beberapa usaha yang dijalankan untuk mengatasi masalah rasuah di negara ini. Bicara SN untuk minggu ini ingin mengenengahkan peranan Islam dalam menyelesaikan masalah ini. Sebagai sebuah Deen yang lengkap, Islam secara tabii mempunyai jawapan terhadap persoalan ini. Ia menggariskan beberapa panduan yang mampu menghumban jauh gejala rasuah ini melalui pembentukan syakhsiyyah (keperibadian) di peringkat individu, masyarakat hinggalah negara. Berdasarkan kepada masalah ini, ayat Al-Quran dijadikan piawai pengambilan hukum bagi menentukan syakhsiyyah seseorang insan, masyarakat di sekelilingnya mahupun negara yang menaungi kehidupan insan tersebut. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman;

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” [TMQ Al-Baqarah (2):188]
Keperibadian Islam (Syakhsiyyah Islamiyyah)

Menurut perspektif Islam, seseorang individu itu tidak dinilai semata-mata daripada penampilan fizikalnya, gaya persembahan, raut wajah atau yang seumpamanya. Ini dapat difahami dengan jelas melalui Hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dari Abu Hurairah Ridhuanullahu 'alaih :

Sesungguhnya Allah tidak menilai rupa kamu serta harta kekayaan kamu, akan tetapi Dia hanya menilai hati dan amal perbuatan kamu.”[HR Muslim dan Ibnu Majah]

Seseorang itu hanya akan dikatakan mempunyai keperibadian Islam apabila ia memenuhi 2 ciri syakhsiyyah Islamiyyah yang terdiri dari aspek 'Aqliyyah (Pola fikir) dan Nafsiyyah (Pola laku). Ini dapat dijelaskan secara ringkas seperti berikut; 

i) 'Aqliyyah (Pola fikir) Islamiyyah
Kata 'aqliyyah berasal daripada bahasa Arab yang bermakna sesuatu yang berkaitan dengan aqal. Muhammad Hussein Abdullah di dalam kitabnya yang berjudul ‘Mafahim Islamiyah: Ar-Ruh, Al Idrak, Al-Amal, As-Syakhshiyah’ (Beirut 1994), menghuraikan 'aqliyyah sebagai cara/jalan yang digunakan untuk memahami atau mengambil kesimpulan tentang realiti tertentu. Maksudnya ’Aqliyyah Islamiyyah menjelaskan cara yang digunakan oleh seseorang muslim untuk mengaitkan realiti yang dihadapinya dengan apa yang telah ditetapkan oleh syara’, samada ia merupakan suatu yang bersifat wajib, sunah, makruh, harus atau haram. Ia merupakan cabang dari keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

ii) Nafsiyyah (Pola laku) Islamiyyah
Kata nafsiyyah berasal daripada kata nafs’ yang ditambah di akhir kalimat dengan ya’an-nisbat. Menurut bahasa, nafsiyyah adalah sesuatu yang berkaitan dengan nafs’ dan apa-apa yang berhubungan dengan sifat-sifat nafs’. Muhammad Ismail di dalam kitabnya Al Fikru Al-Islami menerangkan bahawa nafsiyyah menjelaskan cara yang digunakan oleh seseorang untuk memenuhi dorongan (dawafi’) yang lahir daripada keperluan jasmani dan nalurinya berdasarkan pandangan hidup tertentu. Nafsiyyah Islamiyyah tentunya dilandasi hukum-hukum syara’ hasil dari sifat ketaqwaan diri terhadap balasan dan ganjaran Allah di hari akhirat kelak. Itulah ciri mukmin yang memelihara dirinya dari berlaku zalim dan fasik.

Di sisi individu, sekiranya ia berjaya memupuk ciri-ciri syakhsiyyah yang disebutkan diatas, maka ia masih belum cukup selagi masyarakat tidak dibentuk dengan syakhsiyyah yang sama. Penggembelengan usaha membentuk syakhsiyyah Islamiyyah dalam masyarakat haruslah dijalankan secara sepadu dan serius. Bahkan negara juga mesti mempunyai ‘syakhsiyyah’ yang sama hingga mencetuskan keterkaitan antara satu pihak dengan yang lain melalui penerapan peraturan (undang-undang) serta hukum yang digaris oleh nas-nas syara’. Akhirnya terbentuklah sebuah kehidupan Islam yang didasari dengan keimanan serta ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, sekaligus menjana kualiti hidup yang maksima di dunia mahupun akhirat.

Khatimah

Walaupun usaha pemakaian lencana itu difikirkan baik kesannya, namun usaha itu masih tidak tuntas dan memberi kesan sebenar pada pemikiran manusia. Seolah-olah ianya sekadar rentetan dari tradisi nasihat-menasihati melalui penglabelan. Sepatutnya, motivasi kearah pembentukan syakhsiyyah Islamiyyah dimasukkan ke dalam agenda membanteras rasuah dan segala macam kemungkaran hari ini, di samping penerapan dan perlaksanaan hukum-hukum Allah Subhanahu wa Ta'ala oleh negara sebagai perisai yang akan membentengi gejala maksiat serta mencorakkan sebuah kehidupan yang Islami. Mencetuskan kesedaran diri terhadap motif kehidupan dunia sebagai penentu nasib di alam akhirat sepatutnya dijadikan isu utama dakwah untuk menambat pemikiran umat di kala ini. Ini wajar dijalankan tanpa mengambil kira kepentingan pihak tertentu sahaja, bahkan semua pihak harus dilibatkan kerana rasuah dan kemaksiatan lain tidak hanya melibatkan satu pihak sahaja.

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal (kepada orang-orang yang penuh keyakinan) tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah.”
[TMQ Al-Maidah (5) : 50]

SN043 - SICUPAK DARI ISTANBUL - Bukan Setakat Imbasan Sejarah

[SN043] Selamat Hari Raya Eidul Fitri diucapkan kepada semua pembaca Sautun Nahdhah yang dihormati, semoga dengan ketibaan Syawal ini, semangat dan istiqamah dalam mengembalikan kemuliaan Islam dapat kita perbaharui dan kita perteguhkan. Sempena Syawal yang diberkati ini, marilah kita sama-sama memanjatkan doa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar kerinduan yang dirasai oleh kaum Muslimin untuk melihat Islam kembali diterapkan secara kaffah akan terjawab pada tahun hadapan dengan kita menyambut Ramadhan dan merayakan Eidul Fitri di bawah naungan Khilafah ‘ala Minhaj Nubuwwah, insyaAllah!

Di dalam kesempatan kali ini, Sautun Nahdhah ingin mengucapkan tahniah kepada pihak TV3 yang telah berjaya menyiarkan program Jejak Rasul siri ke-11 di sepanjang bulan Ramadhan yang lalu dengan tema Sicupak dari Istanbul . Secara umumnya siri Jejak Rasul kali ini mengisahkan sejarah hubungan antara umat Islam di Nusantara dan Asia Timur, khususnya Acheh, dengan Kesultanan Turki Uthmaniyyah. Kami yakin, sudah tentu ramai para penonton yang amat menghargai usaha TV3 ini dalam menerbitkan rancangan sebegini rupa; sememangnya sejak rancangan Jejak Rasul ini mula diterbitkan 11 tahun yang lalu, ia telah banyak mendedahkan kepada kaum Muslimin di Malaysia sejarah Islam yang sebelum ini mungkin tidak begitu jelas gambarannya di dalam benak ramai di antara kita. Bukanlah menjadi tujuan makalah SN minggu ini untuk menyoroti semula siri Jejak Rasul yang lalu, namun kami merasa terpanggil untuk memberikan sedikit sebanyak masukan mengenai siri tersebut yang mungkin tidak begitu ditekankan di sepanjang tayangannya. 

Sejarah menceritakan kepada kita perkembangan sesuatu tamadun, jatuh bangunnya dan memberikan kepada kita pengajaran yang harus kita ambil iktibar darinya agar kesilapan yang lalu tidak kita ulangi. Inilah fakta sejarah. Sebagai umat Islam, sejarah Islam juga harus diperhatikan di dalam konteks ini. Malah lebih dari itu, sejarah Islam haruslah juga diperhatikan di dalam konteks tanggungjawab kita pada zaman ini untuk mengembalikan kegemilangan yang pernah dikecapi oleh umat Islam terdahulu, sebagai sesuatu yang di bebankan oleh Allah Azza wa Jalla ke atas kita. 

Bangsa Arab sebelum kedatangan Islam bukanlah suatu bangsa yang digeruni atau disegani. Dalam kelenaan mereka yang lalai dengan warna-warni dan keseronokan hidup, Islam tiba sehingga menjadikan mereka umat yang termulia. Kemuliaan Islam terus terjaga selepas kewafatan Rasulullah al-Mustafa. Khulafa’ Ar-Rashidin membela Islam dengan penuh komitmen. Khalifah-khalifah selepas itu, meskipun ada yang tergelincir dari tanggungjawab mereka yang sebenarnya, namun secara umumnya telah meletakkan Islam dan umatnya di tempat yang tertinggi di antara umat-umat yang lain. Tokoh-tokoh Islam seperti Umar Abd. Aziz, Harun Al-Rashid, Salahuddin Al-Ayyubi dan Sultan Qutuz menjadi pembela Islam yang tiada tolok bandingannya. Setelah itu, kepimpinan kaum Muslimin diserahkan pula kepada bangsa Turki dengan pemimpinnya yang tidak kurang hebatnya seperti Muhammad Al-Fatih, Sulaiman Qannuni dan Sultan Abdul Hamid. Kekuasaan kaum Muslimin ketika itu mencengkam kuat di daratan Eropah dan mampu bertahan selama 6 abad sebagai kuasa besar dunia, digeruni dan ditakuti oleh negara-negara Eropah yang kini telah mengambil alih kepimpinan peradaban dunia.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

‘Kalian adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia – kalian menyeru kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran dan kalian beriman kepada Allah...’[TMQ Al-Imran:110]

Sesungguhnya Allah telah menjadikan kaum Muslimin sebagai umat yang terbaik sedangkan situasi hari ini jelas menunjukkan yang sebaliknya. Umat Islam yang pada suatu masa dahulu pernah menerajui dunia kini menduduki tempat tercorot, dihina dan diperkotak-katikkan. Memang benar, setiap umat itu telah ditetapkan batasan waktu kewujudannya, sesuai dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

‘Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya, mereka tidak akan dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak pula dapat mempercepatkannya” [TMQ Al-A’raaf: 34]

Namun begitu, Allah juga menuntut agar hukumNya ditegakkan di muka bumi ini dalam di setiap waktu dan tempat. Firmannya:

‘.....Sesungguhnya (membuat) hukum itu hanyalah untuk Allah...’ [TMQ Yusuf : 40]

Dan tanggungjawab inilah yang kerapkali dilupakan oleh umat generasi kini. Tempoh masa yang ditetapkan Allah ini bukanlah sesuatu yang harus dijadikan alasan bahawa ‘zaman kegemilangan Islam’ telah berlalu. Hanya Allahlah yang berhak menentukan tempoh waktu ini. Umat Islam hanya berkewajiban untuk menegakkan hukum Allah di muka bumi ini. Kelalaian umat kini dengan cara hidup tidak Islami yang merosakkan pemikiran dan komitmen kita kepada Islam mendominasi seluruh aspek hayat kaum Muslimin hari ini. Akibatnya, apabila umat didedahkan kepada pemikiran, keagungan serta kemuliaan Islam dan umatnya melalui catatan-catatan sejarah silam, jarang sekali kita memerhatikan imbasan ini sebagai suatu tanggungjawab yang harus dipikul – dalam mengembalikan ketinggian Islam. Yang wujud hanyalah perasaan bangga yang sebentar mengenangkan kehebatan umat Islam terdahulu. Kalaupun wujud rasa tanggungjawab, ia lebih tertumpu kepada aspirasi untuk memajukan umat Islam hari ini agar dapat mencapai tahap kemajuan umat-umat terdahulu, tanpa memerhatikan hakikat kehidupan Islam kaffah yang wajib dikembalikan.

Perlu ditegaskan di sini bahawa keagungan Kekhilafahan Uthmaniyyah yang kekal selama lebih 600 tahun itu secara keseluruhannya berdiri di atas dasar aqidah Islam. Aqidah Islam dijadikan asas kepada seluruh tiang dan sendi pemerintahan Kesultanan Turki ini. Tidak pernah, walau sesaat, Khilafah Uthmaniyyah mengadopsi hukum selain hukum Islam dalam pemerintahannya – sehinggalah Mustafa Kamal La’natullah menghapuskan insitusi ini pada tahun 1924. Asas inilah yang membentuk kekuatan dan kehebatan Daulah Khilafah Islamiyyah dan asas inilah juga yang menjadi pedoman umat dalam penyelesaian setiap permasalahan mereka. 

Dengan tersebarnya Islam ke seluruh penjuru alam, kaum kuffar mula mencari jalan untuk menghalang perkembangan Islam. Mereka mula melangkah kaki ke kawasan Nusantara untuk merealisasikan tujuan ini. Seperti yang di sebutkan oleh Arnold Toynbee, seorang sejarawan Inggeris di dalam bukunya ‘The World and the West’, gerakan balas Eropah di kawasan Nusantara adalah sebagai usaha untuk melemparkan tali ‘lasso’ bagi mengikat leher kuda Dunia Islam yang sedang berlari kencang dari Asia Barat ke Nusantara. Acheh, salah satu Kesultanan Islam yang menyedari ancaman ini telah meminta bantuan dari Khilafah Uthmaniyyah dalam usahanya untuk menghadapi ancaman barat ini. Acheh sedar bahawa Khalifah, sebagai pemimpin umat Islam sedunia merupakan junnah atau perisai yang dibelakangnya umat Islam berjuang.

Kaum kuffar tidak pernah lalai dalam kesedaran mereka bahawa selama mana umat Islam masih mempunyai seorang pemimpin (khalifah/imam) maka selama itulah Barat tidak akan pernah berjaya mendominasi Dunia Islam. Pada akhir abad ke 19, Snoucke Hurgronye, seorang Orientalis dan Penasihat Pemerintah Agung Hindia Belanda pernah menyarankan agar pemerintah kolonial Belanda di Indonesia menolak dan membataskan perkembangan ajaran-ajaran Islam yang menyangkut idea Khilafah, Pan Islamisme dan Jihad. Hari ini, Bush pula menyuarakan kebimbangannya terhadap Al-Khilafah dan menuduhnya sebagai negara totalitarian yang akan diperintah oleh mereka yang fanatik dan dahagakan darah!! Begitulah kesedaran mereka terhadap kekuatan umat Islam seandainya kaum Muslimin bersatu di bawah payung kekhilafahan.

Malangnya, kaum Muslimin pula yang mudah lupa. Hatta dalam keagungan zaman kekhilafahan, umat begitu mudah terpedaya dengan pemikiran busuk yang disuntikkan oleh Barat – nasionalisme dan demokrasi telah berjaya menjauhkan umat dari Islam sehingga ada yang sanggup mengenepikan Islam atas dasar kekufuran. Hari ini, dalam kesungguhan umat untuk cuba menghidupkan kembali kegemilangan kaum Muslimin yang silam, kesatuan umat dan penerapan Islam secara kaffah di bawah Daulah Khilafah jarang sekali di ambil kira secara serius.

Tidak dapat dinafikan bahawa rancangan Jejak Rasul siri ke-11 kali ini telah berjaya memanifestasikan keagungan Khilafah Uthmaniyyah dan hubungannya dengan Nusantara dan negara-negara Asia Timur. Namun, siri ini seharusnya sudah cukup untuk menimbulkan banyak pertanyaan yang mendesak – mengapakah keagungan ini sudah tidak lagi wujud hari ini? Bukankah Daulah Khilafah ini sudah wujud lebih 1300 tahun lamanya lalu apakah yang menjadikan umat generasi hari ini begitu istimewa sehingga tidak memerlukan lagi Daulah Khilafah? Bukankah menegakkan Khilafah ini merupakan suatu kewajiban yang tidak akan pernah gugur sehingga hari kiamat? Lalu mengapakah setelah selesai Ramadhan, umat masih tidak kedengaran menanyakan soalan-soalan seperti ini? Sicupak dari Istanbul bukanlah setakat imbasan sejarah yang menghiburkan, ia lebih dari itu. Ia sewajarnya menyedarkan kita bahawa keagungan dan kemuliaan Islam itu wajib dikembalikan dan kitalah, umat generasi hari inilah yang bertanggungjawab untuk merealisasikannya!

Wallahu’alam

SYAWAL BULAN KEMENANGAN

Sebahagian besar umat Islam seluruh dunia menyambut Syawal secara serentak pada 3 November 2005, satu peristiwa yang jarang berlaku dalam dunia umat Islam yang kini hidup terpisah oleh sempadan geografi yang rata-rata dicipta kaum penjajah Barat. Laungan takbir, tahlil, dan tahmid bergema memenuhi alam, seiring dengan berakhirnya bulan suci Ramadhan dan datangnya 1 Syawal 1426 H. Laungan takbir, tahlil, dan tahmid ini sesungguhnya merupakan ungkapan kemenangan yang di raih kaum Muslimin dalam menjalankan ibadah puasa Ramadhan, dengan segala tentangan, halangan, dan rintangannya; kemenangan meraih ketaatan dan ketaqwaan yang lebih tinggi, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dalam firmanNya:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa” [TMQ Al-Baqarah (2): 183]

Umat Islam juga dituntut untuk meningkatkan nafsiah Islamiyyah melalui ibadah mereka di bulan Syawal ini sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. 'Daripada Abu Ayub al-Ansari bahawa Rasulullah bersabda: 

"Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang masa" [Riwayat Muslim]

Pelbagai ganjaran dan kelebihan yang dapat diperoleh umat Islam jika mereka merebut peluang melaksanakan puasa enam hari pada Syawal ini. Imam Ahmad dan An-Nasa'i meriwayatkan daripada Tsauban bahawa Rasulullah bersabda: 

"Puasa Ramadan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) 10 bulan sedangkan puasa enam hari (pada Syawal, pahalanya) sebanding dengan (puasa) dua bulan, maka itu bagaikan berpuasa selama setahun penuh" [Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban]

Apa yang perlu ditekankan adalah, hakikat kemenangan yang dimaksudkan bukanlah setakat terpenuhnya tuntutan antara makhluk dan Penciptanya secara individu semata-mata. Namun, kemenangan yang sebenarnya adalah sinonim dengan meletakkan Islam sebagai aturan hidup bagi individu, masyarakat dan negara. Jika kita memerhatikan sejarah, laungan takbir sebagaimana yang kita kumandangkan saat ini, selalunya dikumandangkan ketika kaum Muslimin meraih kemenangan. Inilah takbir yang dikumandangkan pertama kali di saat Perang Badar, di saat kaum Muslimin sedang menunaikan puasa Ramadhan yang pertama, 19 bulan setelah hijrah Rasulullah ke Madinah dan di saat kaum Muslimin meraih kemenangan membebaskan kota Makkah. 

Dari itu, kemenangan yang berhasil diraih kaum Muslimin selepas menjalankan ibadah puasa Ramadhan kali ini, sudah semestinya dibuktikan secara nyata dengan bertambahnya ketaatan mereka kepada Allah - ketaatan yang tidak hanya terbatas dalam urusan ibadah ritual semata, akan tetapi ketaatan yang utuh dan menyeluruh dengan menjalankan perintahNya dan menjauhi laranganNya dalam seluruh aspek kehidupan. Ini berarti, kaum Muslimin wajib menjalankan urusan pemerintahan sesuai dengan aturan Allah; menjalankan urusan ekonomi sesuai dengan perintah Allah; menjalankan urusan politik dalam dan luar negeri sesuai dengan perintah Allah; menjalankan urusan sosial dan budaya sesuai dengan perintah Allah; dan demikian seterusnya. Barulah pada ketika itu, takbir dilaungkan sebagai ungkapan kemenangan yang nyata, yang berhasil diraih oleh kaum Muslimin dalam perjuangan mereka untuk menegakkan kalimat Allah di muka bumi ini. Kemenangan mereka ini hanya akan benar-benar terealisasi dengan tertegaknya kedaulatan hukum-hukum Allah di muka Bumi; dan kemenangan mereka menundukkan kekufuran dalam segala bentuknya.

Namun, apakah yang sedang terjadi saat ini? Takbir kini dikumandangkan setiap tahun, sementara kaum Muslimin yang mengumandangkannya, senantiasa dibelenggu kekalahan demi kekalahan, kemerosotan demi kemerosotan, kemunduran demi kemunduran. Berbagai masalah mencengkam umat ini terus-menerus, seolah-olah tidak kunjung padam, baik di dalam mahupun di luar negeri. Umat Islam di pelbagai negeri kaum Muslimin, hingga kini masih tetap dalam kemerosotan, kebodohan, dan kemiskinan di tengah-tengah sumber alam mereka yang melimpah ruah. Afganistan dan Iraq, hingga kini tetap diduduki kaum penjajah kafir pimpinan AS. Kaum Muslimin di Palestin juga masih tetap menderita di bawah cengkaman Yahudi Israel. Di Asia Tengah, seperti Uzbekistan dan Kyrgyzstan, umat Islam masih juga tetap dalam belenggu kekejaman rejim-rejim diktator, yang menjadi ejen kaum kafir penjajah. Demikian juga yang terjadi Chechnya, Dagestan, Kashmir, Pattani dan Filipina.

Oleh itu, jika dengan menjalankan ibadah puasa Ramadhan, kaum Muslimin ingin kembali kepada fitrahnya, maka seharusnya ini difahami sebagai kembali kepada hukum dan aturan-aturan Allah sebagai pengatur seluruh aspek kehidupan manusia. Dengan kata lain, kembali kepada fitrah adalah kembali kepada syariah Allah, iaitu syariah Islam, untuk mengatur seluruh aspek kehidupan kita. Inilah fitrah manusia yang seutuhnya, dan inilah kunci kemenangan umat Islam.

Ingatlah, sesungguhnya kemenangan demi kemenangan yang berhasil diraih oleh Rasulullah dan para sahabatnya, serta para khalifah sesudahnya, adalah kerana mereka menerapkan Islam secara kaffah dalam kehidupan mereka. Ini menjadikan generasi Islam terdahulu mampu membangun kekuatan "super power", Negara Khilafah, yang disegani kawan dan ditakuti lawan. Negara Khilafah inilah yang kemudiannya mewujudkan kemakmuran dan kesejahteraan hidup rakyatnya, baik Muslim mahupun non-Muslim. Tamadun ini mampu melahirkan para pejuang Islam yang konsisten dalam memikul misi-misi pembebasan di berbagai negeri; yang mampu menumbuh-suburkan perkembangan sains dan teknologi untuk kemaslahatan umat manusia serta menjadikan Daulah Islam sebagai kiblat perkembangan sains dan teknologi, di saat bangsa Eropah masih tenggelam dalam kebodohan dan keterbelakangan. 

Semoga Ramadhan yang baru berlalu dan Syawal yang kini menjelma menambahkan lagi tekad dan kekuatan kita untuk lebih mendalami dan bergerak bersama Islam agar pada Ramadhan yang akan datang, umat Islam seluruhnya akan dapat bersatu di bawah payung kekhilafahan. Kita doakan agar umat akan segera mencapai kemuliaan dan kemenangan yang dijanjikan Allah dan RasulNya ini sepertimana kemenangan pejuang Islam generasi terdahulu di dalam peperangan Hamra' al Asad, peperangan Al Ahzab dan peperangan Al Hunain yang kesemuanya berlaku di dalam bulan Syawal.

SN042 - AIDILFITRI - Muhasabah Taqwa Umat Menjalani Ramadhan

[SN042] Kaum muslim yang dirahmati Allah Subhanahu wa ta’ala.

Sedikit masa lagi, insyaallah, Ramadhan akan berlalu meninggalkan kita. Ketika itu kaum muslim berbahagia mengucapkan kalimat takbir, tahlil dan tahmid serentak sebagai ungkapan syukur kita kepada Allah Subhanahu wa ta’ala menyambut ketibaan Syawal. 

Namun ada dikalangan kita merasa sedih kerana itu. Entahkan tahun depan kita masih berpeluang menikmati kehadiran Ramadhan. Bulan dimana Allah berikan kesempatan pada kita untuk memperbaiki diri. Bulan dimana Allah Subhanahu wa ta’ala memberikan banyak kasih sayang-Nya kepada kaum muslim. Bulan dimana Allah Subhanahu wa ta’ala menjanjikan keampunan bagi orang-orang yang berpuasa,. Ampunan terhadap dosa-dosa kita sebelumnya hingga bersih seolah bayi yang baru dilahirkan. 

Ampunan Allah itu hanya diberikan kepada orang-orang yang berpuasa kerana dorongan iman dan kesungguhan hati. Sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam: 

«مَنْ صَا إِيْمَانًا وَ اْحتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ»مَ رَمَضَانَ

Siapa saja yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan landasan iman dan berniat ikhlas (bersungguh-sungguh mengharapkan redha dan pahala Allah) akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. [HR Ahmad].

Ampunan Allah seperti itu tidak layak bari mereka-mereka yang kelihatan berpuasa, menahan lapar dan dahaga. Sepertimana sabda baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam : 

«رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلاَّ السَّهَرُ»

Betapa banyak orang berpuasa tidak mendapatkan apa-apa kecuali lapar dan dahaga, betapa banyak orang yang menghidupkan malam tidak mendapatkan apa-apa kecuali kantuknya sahaja. [HR Ibn Majah].

Selain memperolehi fadhilat berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga serta mencegah diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, kita juga dianjurkan melakukan ibadah lain bagi meningkatkan ganjaran dengan tadarus, bersedekah, bantu-membantu serta tidak melalaikan tuntutan kewajipan yang lain seperti Jihad. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam serta para sahabat melakukan jihad tatkala dibulan Ramadhan biarpun dalam kesulitan. Bukankah perang Badar al-Kubra yang dimenangkan kaum muslim terjadi di bulan Ramadhan pada tahun kedua Hijriyah? Penaklukan Mekah (Fathu Mekah) juga terjadi di bulan Ramadhan. Kemenangan Salahuddin Al-Ayyubi atas pasukan perang Salib, penaklukan Sepanyol oleh Thariq bin Ziyad juga terjadi di bulan Ramadhan.

Islam adalah agama yang kaffah (menyeluruh), ajaran Islam tidak boleh dipisah-pisahkan. Tapi wajib diterima dan diamalkan secara utuh. Kesolehan tidak diperolehi dengan hanya melaksanakan ibadah ritual (mahdhah) seperti berpuasa atau solat sahaja, seorang muslim wajib tunduk pada seluruh aturan-aturan Allah secara menyeluruh. 

Kaum muslim yang dimuliakan Allah Subhanahu wa ta’ala,

Ada beberapa pertanyaan yang penting yang patut kita tanyakan diri kita dengan berakhirnya Ramadhan. Apakah puasa kita berhasil ? Apakah petanda keberhasilannya ? Apakah cukup dengan selesainya kita mengkhatam Al-Qur'an 30 Juz ? Atau pada malam-malam kita yang kita isi dengan solat tarawih dan memperbanyak doa ? Apakah benar kita telah meraih al-falaah (kemenangan) ? 

Apakah kita berjaya dan meraih kemenangan padahal Ramadhan kita tidak banyak berpengaruh terhadap penyelesaian masalah umat seluruhnya ? Apakah layak kita disebut berjaya sementara umat masih lagi hidup menderita. Musuh-musuh Allah, kaum kuffar, masih sahaja membunuh kaum muslimin. Penguasa-penguasa di negeri-negeri umat Islam, masih cuai dalam melindungi rakyatnya. Mereka juga tidak peduli apakah keperluan asas rakyatnya terjamin atau tidak. Bahkan penguasa-penguasa negeri umat Islam lebih mementingkan keredhaan negara-negara imperialis, meskipun harus memenjarakan, menzalimi, bahkan membunuh rakyatnya sendiri. 

Hal yang sama terjadi pada parti-parti politik yang lebih sibuk bertikai, saling berebut kerusi, saling menipu demi kekuasaan dan kedudukan, juga demi harta. Kenapa umat Islam masih diliputi oleh kemiskinan dan kebodohan. Rasuah dan berbagai penyelewengan pun masih berleluasa. Bagaimana pula dengan perjudian, pornografi, pelacuran yang masih berjalan, bahkan di bulan Ramadan sekalipun? Jenayah seperti rogol, pembunuhan, pencurian dan lain-lain masih merupakan hal yang sering kita saksikan pada paparan media massa. 

Negara-negara Imperialis seperti Amerika dan Britain pun bertindak sesukanya ke atas kaum muslim. Berslogankan “perang melawan terorisme”, ribuan nyawa kaum muslimin terbunuh di Iraq, Afghanistan dan negeri umat Islam lainnya. Israel dengan dokongan penuh dari Amerika Syarikat hingga saat ini tidak berhenti menghancurkan rumah-rumah kaum muslim, membunuh pemuda-pemuda Islam yang berjuang untuk membebaskan negerinya.

Tidak hanya itu, mereka merampas kekayaan kaum muslim, mengeksploitasinya dengan cara-cara licik. Akibat dari itu, negeri umat Islam yang kaya dengan kekayaan alam, tetapi penduduknya hidup miskin menderita. Apakah kesalahan atau kealpaan kita dalam hal ini ? 

Kaum muslim yang dirahmati oleh Allah Subhanahu wa ta’ala

Kenapa Ramadhan kita tidak banyak memberikan pengaruh terhadap rakyat? Jawabannya adalah kaum Muslimin telah meninggalkan aspek mabda’iy atau disebut aspek ideologik yang membangun ketaqwaan sebenarnya dalam Islam. Sekarang, Islam disempitkan sekadar agama yang mengatur persoalan ibadah mahdhah (ritual) seperti berpuasa, solat atau haji. Ketaqwaan kemudian diertikan sekadar pengamalan seorang Muslim dalam aspek-aspek individual dan ritual. Negara dan jenteranya seolah-olah terlepas dari kewajiban menerapkan hukum syariat Islam secara menyeluruh. Etika sebegini menjadikan Islam tidak berperanan dalam menyelesaikan berbagai persoalan umat dan warga negara secara umum. Umat Islam telah menjadikan agamanya seperti agama lain, yakni hanya membahas tentang moral dan nasihat tanpa ada tindakan langsung yang secara praktis, yang mampu menyelesaikan berbagai persoalan kehidupan. 

Bercerminkan kepada kehidupan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam, wajar kalau umat Islam dahulu mendapat kemuliaan dan kejayaan di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala. Sebab Ramadhan mereka dijadikan medan untuk mewujudkan Islam sebagai agama ideologis. Agama yang mengatur seluruh aspek kehidupan manusia, menyelesaikan seluruh persoalan manusia mulai dari hal peribadi, keluarga, sosial, ekonomi, pemerintahan, politik luar negeri, hukuman dan peradilan, masalah pertahanan dan keamanan. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat sangat memahami erti taqwa yang sebenarnya. 

Sedangkan sekarang, kita tidak lagi menjadi masyarakat yang bertaqwa secara utuh. Padahal ketaqwaan adalah kunci dimana Allah Subhanahu wa ta’ala akan menurunkan berkah-Nya dari langit dan bumi. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa ta’ala : 

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى ءَامَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَاْلأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.[TMQ. al-A’raf (7): 96]

Ini bererti kita mesti memperbetulkan pencapaian target (objektif) Ramadhan kita. Apakah kita benar-benar sudah mencapai darjat hamba Allah yang bertaqwa. Sudahkah kita telah sampai pada seruan Allah Subhanahu wa ta’ala:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertaqwa  [TMQ. Al Baqarah (2):183].

Kaum muslim yang dirahmati oleh Allah Subhanahu wa ta’ala

Kata-kata taqwa, sering dilaungkan tetapi ianya menjadi khayalan ritual yang berulang-ulang tanpa difahami secara utuh dan menyeluruh oleh kaum muslim. Apa yang salah dari pemahaman dan wujud ketaqwaan kaum muslimin ketika ini ?

Perkataan taqwa berasal dari kata 'waqa' yang ertinya melindungi. Taqwa yang sesungguhnya mesti boleh melindungi seorang muslim dari amarah Allah Subhanahu wa ta’ala dan hukuman-Nya. Taqwa bererti sikap hati-hati seorang muslim untuk menjaga dirinya dari setiap perbuataan yang dikerjakan atau dia tinggalkan yang boleh mengakibatkan murka Allah menimpanya. Dengan sikap taqwa ini seorang muslim memiliki kesedaran untuk sentiasa mengingat Allah Subhanahu wa ta’ala bahawa apapun yang dia lakukan, pasti akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah Subhanahu wa ta’ala kelak.

Kesedaran itu wujud natijah dari ketertundukan kita kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dengan menjalankan seluruh perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Allah Subhanahu wa ta’ala meminta kepada setiap orang yang mengaku beriman kepada-Nya, agar bertaqwa dengan sebenar-benarnya taqwa. Dia Subhanahu wa ta’ala berfirman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah sebenar-benar taqwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. [TMQ. ali-'Imran (3):102].

Di dalam Tafsir Jalalain dikatakan bahawa ayat itu menuntut agar Allah ditaati dan tidak didurhakai, agar seorang mukmin bersyukur kepada-Nya dan tidak mengkufurinya, agar sentiasa mengingat-Nya dan tidak melupakan-Nya. Sementara Al Ustadz Muhammad Ali As-Shabuni dalam Shafwatut Tafaasiir juz I/200 mengatakan ‘haqqa tuqaatih’ maksudnya adalah dengan menjauhi segala bentuk kemaksiatan (kedurhakaan) kepada-Nya.

Jadi wujud taqwa kepada Allah Subhanahu wa ta’ala adalah menjalankan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, baik dalam urusan peribadi, keluarga, masyarakat, mahupun negara. Allah Subhanahu wa ta’ala menuntut penyerahan jiwa dan raga orang-orang mukmin kepada Islam secara total, kaaffah. Dia Subhanahu wa ta’ala berfirman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu [TMQ. al-Baqarah (2): 208].

Kaum muslim yang berbahagia…

Berpuasa adalah waktu kita melatih diri untuk sentiasa berhubungan dengan Allah Subhanahu wa ta’ala. Lapar dan dahaga yang kita rasakan semestinya mengingatkan kita bahawa kita sedang menjalankan perintah Allah Subhanahu wa ta’ala. Tapi sayang, kaum muslim sekarang ini telah men'sekular'kan ketaqwaannya kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Ketaqwaan kita tidak utuh. Inilah yang menyebabkan Ramadhan demi Ramadhan yang kita lalui tidak banyak memberikan pengaruh kepada umat. 

Perhatikan sahaja, waktu Ramadhan kaum muslim dengan sungguh-sungguh untuk menjalankan puasanya, menjaga agar tidak batal. Namun, ketika berekonomi, kaum muslim tidak tunduk pada aturan Allah. Mereka menganggap memanfaatkan riba’ adalah hal yang biasa. Sebahagian muslim pula lebih cenderung memilih untuk mempraktikkan bidang ekonomi berdasarkan ekonomi kapitalis yang telah terang jelas percanggahannya dengan aturan Islam. 

Ketika Ramadhan beredar, para penguasa menyeru agar tempat-tempat maksiat ditutup untuk seketika. Tetapi setelah itu, operasi kemaksiatan berjalan seperti biasa dengan alasan ekonomi. Saat Ramadhan para penguasa yang muslim berusaha memelihara puasanya dengan tidak makan dan minum, sebab itu melanggar perintah Allah Subhanahu wa ta’ala. Namun kenapa ketakutan melanggar perintah Allah itu tidak wujud ketika mereka melalaikan urusan rakyat berdasarkan peraturan Islam, sanggup membiarkan rakyat hidup dalam kemiskinan dan penderitaan, lebih-lebih lagi setelah kenaikan kos hidup diseluruh dunia akibat dari polisi perekonomian kapitalisme yang mereka amalkan selama ini.

Jika para penguasa merasa berdosa kerana makan di siang hari tanpa ada alasan syar'i, tapi kenapa tidak merasa berdosa ketika rakyatnya kebuluran akibat kemiskinan. Kenapa tidak merasa berdosa menzalimi rakyatnya dengan polisi yang tidak melindungi rakyatnya ? Kenapa korupsi dan kolusi masih berleluasa ? Inilah bukti bahawa ketaqwaan kita adalah ketaqwaan secular, ketaqwaan yang tidak utuh berubah-ubah mengikut situasi, emosi dan kepentingan diri. 

Taqwa juga mesti dilakukan oleh parti politik dengan menjadikan Islam sebagai asas perjuangan mereka sekaligus memperjuangkan agar syariat Islam diwujudkan ditengah-tengah masyarakat. Taqwa mesti muncul dalam diri para pemimpin parti politik itu tatkala mereka melakukan kempen perjuangannya: apakah bahan kempen mereka sesuai dengan syariat, ataukah masih dipasung dengan sistem demokrasi ?! Bukankah tugas parti politik dalam Islam adalah menyeru ke jalan Islam, menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran ? Firman Allah Subhanahu wa ta’ala :

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون

Hendaklah ada di antara kalian (kaum Muslim) segolongan umat yang menyerukan al-Khayr (Islam) serta melakukan (amar) kemaarufan dan mencegah (nahiy) kemungkaran. ([TMQ ali-'Imran (3):104].

Jadi adalah tidak patut sebuah parti politik dimana kaum muslimim terlibat di dalamnya diam terhadap kemungkaran yang ada ditengah-tengah rakyatnya, apalagi mengkampanyekan idea-idea kufur yang bertentangan dengan Islam seperti nasionalisme, patriotisme, demokrasi, atau sekularisme, kapitalisme, mahupun sosialisme dan komunisme. Sebab semua bentuk kekufuran menjauhkan seorang muslim dari sikap jiwa taqwa kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Taqwa juga semestinya juga diwujudkan oleh negara dengan menerapkan hukum-hukum Allah Subhanahu wa ta’ala. Bukankah Allah Subhanahu wa ta’ala telah memerintah para penguasa untuk menjalankan hukum-hukum Allah Subhanahu wa ta’ala sebagai manifestasi ketaqwaan kita kepada Allah, justeru menghindarkan diri dari dilabel kafir, zalim mahupun fasiq. Sabda Rasulullah bersabda :

«فَاْلإِمَامُ الَّذِيْ عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَاعِيَّتِهِ»

"Seorang Imam adalah pemelihara dan pengatur urusan rakyatnya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap rakyatnya" [HR Bukhari dan Muslim]

Oleh kerana itu adalah wajib bagi penguasa untuk memenuhi keperluan asas rakyat (makan, pakai dan kediaman). Rakyat juga berhak menerima hak-hak umum (kolektif) mereka berupa jaminan kesihatan, pendidikan dan keamanan secara telus. Demikianlah tanggungjawab para penguasa yang bertaqwa dalam Islam. 

Selain itu, para penguasa yang bertaqwa juga wajib menjaga keutuhan negeri-negeri kaum muslim, tidak tunduk kepada negera-negara Imperialis seperti AS yang ingin memecah-belah kesatuan negeri-negeri Islam. Disamping itu mereka wajib menolak setiap campur-tangan negara-negara kafir imperialis yang hendak menghancurkan kaum muslimin dengan alasan apapun. Dan merupakan tugas penguasa yang taqwa melindungi rakyatnya. Inilah kewajiban negara yang diperintahkan oleh Islam. 

Demikian juga rakyat semestinya bertaqwa dengan melakukan muhasabah terhadap penguasa di negeri-negeri mereka agar tidak menerapkan hukum-hukum kufur biarpun sebesar kuman. Sikap berdiam diri terhadap penerapan hukum kufur jelas adalah perkara yang diharamkan oleh Islam dan menyebabkan mereka berdosa. Rakyat yang bertaqwa semestinya berani mengingatkan penguasa mereka yang tidak tunduk kepada aturan Allah Subhanahu wa ta’ala, meskipun itu mesti dibayar dengan penderitaan, kesulitan bahkan nyawa sekalipun. 

Rakyat juga tidak boleh berdiam diri tatkala tidak wujud seorang Khalifah yang menjadi pemimpin kaum muslimin. Perintah ini berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam : 

«وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِيْ عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مِيْتَةً جَاهِلِيَّةً»

"Barang siapa yang mati dan di pundaknya tidak ada bai'at (kepada Khalifah) maka sungguh matinya seperti mati jahiliyah ".

Rakyat yang taqwa juga mestilah bersungguh-sungguh berjuang agar syariat Islam kembali diwujudkan di muka bumi dengan jalan menegakkan Daulah Khilafah Islam. Sebab ketiadaan Daulah Khilafah inilah yang menjadi pangkal utama tidak diterapkannya aturan-aturan Allah Subhanahu wa ta’ala yang akan memberikan kebaikan kepada seluruh umat manusia. Tidak adanya Daulah Khilafah juga menyebabkan terpecah-belahnya kaum muslim di dunia ini. Sehingga membuat kaum muslim mudah dijajah oleh negara-negara imperialis yang rakus. Ini ertinya, keberadaan Daulah Khilafah sangat diperlukan untuk mewujudkan ketaqwaan yang hakiki, baik per individu muslim mahupun kaum muslimin secara jama’iy. 
Kaum muslimin yang dimuliakan Allah Subhanahu wa ta’ala

Inilah taqwa yang sebenarnya. Yakni menjalankan aturan Allah Subhanahu wa ta’ala dalam seluruh aspek kehidupan kita. Baik dalam persoalan individu, keluarga mahupun negara. Ketaqwaan yang menyeluruh inilah yang boleh memberikan pengaruh nyata di tengah-tengah umat. Menyelesaikan persoalan umat dan jalan keluar dari permasalahan hidup kita sekarang. Sebagaimna firman Allah Subhanahu wa ta’ala : 

وَمَنْ يَتَّقِ اللهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبُ

Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. [QS. at-Thalâq (65): 2-3]

Tidak hanya itu, ketaqwaan yang sesungguhnya inilah yang akan menghubungkan kaum muslim ke syurga Allah Subhanahu wa ta’ala yang sangat dirindu-rindukan oleh setiap muslim. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala :

مَثَلُ الْجَنَّةِ الَّتِي وُعِدَ الْمُتَّقُونَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا اْلأَنْهَارُ أُكُلُهَا دَائِمٌ وَظِلُّهَا تِلْكَ عُقْبَى الَّذِينَ اتَّقَوْا وَعُقْبَى الْكَافِرِينَ النَّارُ

Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang taqwa ialah (seperti taman). mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti, sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertaqwa; sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka.
[QS. ar-Ra’d  (3): 35].

Semoga Allah Subhanahu wa ta’ala memberikan kepada kita kekuatan iman dan semangat untuk menjalankan hukum-hukum Allah Subhanahu wa ta’ala. Serta menempatkan kita ke dalam golongan pejuang-pejuang Islam, yang berusaha mewujudkan negara Khilafah Islamiyah, yang mengikuti manhaj Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Marilah kita berdoa kepada Allah Subhanahu wa ta’ala agar amal ibadah kita selama bulan Ramadhan diterima di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala dan kita berhasil meraih darjat taqwa..

أَللّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ دَوْلَةَ الْخِلاَفَةِ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ تُعِزُّ بِهَا اْلإِسْلاَمَ وَاَهْلَهُ وَتُذِلُّ بِهَا الْكُفْرَ وَاَهْلَهُ، وَ اجْعَلْناَ مِنَ الْعَامِلِيْنَ الْمُخْلِصِيْنَ بِإِقَامَتِهَا

Ya Allah, Tuhan kami ! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu, dirikanlah Khilafah atas manhaj Nabi (Sallallahu ‘alaihi wa sallam), berikanlah kekuatan kepada Islam dan umatnya, dan hancurkanlah kuffar serta umatnya. Jadikanlah kami golongan yang beramal soleh serta ikhlas dalam mendirikannya.