Sunday 17 February 2013

SN055 - AYUH BERHIJRAH - kELUAR DARUL KUFUR, MASUK DARUL ISLAM!

[SN055] Setelah mentari tenggelam di u barat pada senja 30 Zulhijjah 1426H, gema azan maghrib berkumandang menandakan bermula kalendar baru hijriyyah 1427. 1 Muharram, yang dimanifestasikan dengan sambutan Ma’al Hijrah menjadi ikon yang signifikan kepada majoriti. Pemergian satu hari dan kehadiran hari yang baru merupakan tabi’i alam yang tidak mampu dihalang atau ditunda oleh mana-mana kuasa makhluk melainkan ianya telah ditetapkan oleh Al-Khaliq Yang Maha Kuasa, Allah Azza wa Jalla. Demikianlah perjalanan Sunnatullah, manusia sebagai makhluk hanya mampu tunduk pasrah kepadanya.

Tahun ini, sebagaimana tahun-tahun lepas, 1427H tetap disambut di Malaysia. Yang berubah hanyalah tema sambutan. “Keunggulan ilmu, teras kegemilangan ummah” terpilih menjadi tema sambutan Ma’al Hijrah tahun ini, dimana fokusnya tertumpu kepada tiga perkara yang digagaskan kepada pembangunan ummah menuju kegemilangan, umat terbaik (khaira ummah). Bina Insan merupakan perkara utama dimana usaha ini membawa kepada penyumbang faktor Modal Insan dan dengan kedua-dua faktor ini umat dikatakan memiliki Keunggulan Personaliti yang setanding umat lain, cemerlang, gemilang dan terbilang. Sudah tentu semuanya dipupuk berlandaskan gagasan Islam Hadhari.

Walaupun begitu, suasana sambutan Ma’al Hijrah peringkat kebangsaan tahun ini agak berbeza sedikit dari kebiasaannya. Anugerah tokoh Ma’al Hijrah telah digantikan dengan acara anugerah penghargaan yang diberikan kepada Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Yusof Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Gabungan Badan Bukan Kerajaan Islam (ACCIN), Datuk Mustapha Ma berupa wang tunai RM 20 000, medal, plak serta sijil penghargaan. Namun bagi negeri-negeri lain seperti Kelantan, Sarawak, Pulau Pinang dan Selangor acara sambutan berjalan seperti tahun-tahun yang lalu dengan penyampaian mesej yang sama bertemakan tema Ma’al Hijrah kebangsaan.

Terbitan Sautun Nahdhah kali cuba mengupas beberapa persoalan mengenai persepsi umat terhadap peristiwa Hijrah serta pengaruh serta kesannya kepada norma kehidupan kaum Muslimin muttakhir ini. Semoga pembaca budiman mendapat manfaat darinya.

Kepelbagaian Persepsi Hijrah Di sisi Umat

Dalam temubual siaran Buletin Utama, 30 Januari 2006 dengan beberapa remaja melayu mengenai Hijrah, mereka secara spontan memberikan respon yang sangat asing mengenainya. Misalnya, dialog berikut :

“Hijrah itu adalah perpindahan Rasulullah dari Madinah ke Makkah.. err.. tak pasti laa..”
“Hijrah.. tak tahu macamana saya nak terangkan..”

Inilah realitinya, samada setuju atau tidak, ia membuktikan bahawa masih ada di kalangan umat Islam yang tidak tahu langsung mengenai Hijrah; samada mereka lupa atau memang tidak pernah didedah mengenainya.

Namun ada pula sesetengah umat yang melihat Hijrah sebagai satu-satunya agenda tahunan, yakni memperbaharui kalendar Islam dengan disertai azam (resolusi) yang baru. Disamping menikmati cuti umum yang diisytiharkan Kerajaan Malaysia setiap tahun, Ma’al Hijrah disambut dengan beriadah bersama keluarga, sahabat handai dan rakan taulan dengan pelbagai agenda masing-masing. Bagi ramai kaum Muslimin, Hijrah tidak memberikan apa-apa momentum kepada kehidupan mereka, mungkin pada mereka Hijrah hanyalah sekadar hari-hari biasa yang khusus untuk kalendar Islam.

Dan jika kita melihat rencana-rencana yang ditulis dalam akhbar nasional mahupun internet, rata-ratanya membawa persepsi Hijrah sebagai suatu titik tolak kepada ‘peningkatan’; ‘peningkatan’ yang mampu memberi hasil yang lebih baik dari keadaan sedia ada. Misalnya, jika seseorang yang pendapatannya sekadar RM 1000, sempena ruh Hijrah, beliau akan melakukan pembaikan usahanya melalui suatu iltizam baru sehingga usaha tersebut akan dapat menambahkan pendapatannya kepada kadar yang lebih tinggi.

Di peringkat kepimpinan pula, seruan gagasan dan formula diberikan kepada umat, khususnya rakyat Malaysia, melalui ucapan-ucapan khas sempena upacara sambutan Ma’al Hijrah yang juga dipaparkan secara langsung di skrin TV mahupun tulisan-tulisan rencana di dada akhbar. Secara ringkasnya, jika diteliti ucapan-ucapan tersebut, para pemimpin menyeru agar kaum Muslimin meningkatkan diri mereka dari posisi sekarang menuju kebangkitan setaraf umat termaju, baik dari sektor ekonomi, ilmu dan teknologi.

Saban tahun inilah senario yang biasa kita temui di Malaysia, yang secara ‘aman’ menyambut Ma’al Hijrah.

Hukum Berhijrah (Berpindah)

Di samping persepsi yang dinyatakan oleh sebahagian besar kaum Muslimin seperti diatas, ada pula di kalangan umat Islam yang masih kabur dalam memahami Hijrah. Mereka hanya melihat Hijrah dari sudut bahasa, yakni berpindah. Mereka mengatakan bahawa maksud hadis di bawah adalah suatu penafian berlakunya perintah agar kita berpindah-randah.

Daripada Ibnu Abbas RadhiAllahu ‘anhu katanya:

Ketika peristiwa pembukaan Kota Mekah, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: (maksudnya) "Tiada lagi hijrah (dari Makkah ke Madinah) selepas pembukaan Makkah, tetapi yang ada adalah jihad dan niat. Apabila kamu dipanggil oleh pemerintah untuk berperang, maka berangkatlah". [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Menurut As-Syaikh Taqiyuddin An-Nabhani dalam kitab Syakhsiyyah Islamiyyah, jilid II; beliau mengatakan hukum berhijrah (berpindah) itu berlaku dalam keadaan-keadaan berikut:-

1. Ketika mana Daulah Islamiyyah (Daulah Khilafah yang menerapkan Islam secara kaffah (menyeluruh)) tidak wujud dan umat menerima tekanan yang hebat terhadap aqidah dan ‘amal ibadah mereka di wilayah tempat mereka tinggal, maka WAJIB mereka berhijrah ke daerah lain yang mana mereka akan kembali merasa aman dalam memelihara aqidah serta amal ibadah biarpun mereka berada di negara kufur.
2. Ketika mana Daulah Islamiyyah telah wujud, keadaan umat Islam itu terbahagi pula kepada dua keadaan;
a. Mampu berhijrah biarpun tidak mengalami tekanan penguasa wilayah kediamannya, maka hukum berhijrah dari situ ke dalam wilayah Daulah Islamiyyah bagi mereka adalah mandub (sunnah). Ini disabitkan pada dalil syara’ yang menyebut;

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" [TMQ Al Baqarah 218].

"Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan"
[TMQ At Taubah 20].

Dalil As-Sunnah di mana Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam membiarkan Nu’aim an-Nuhham tinggal di Makkah setelah beliau mendapat halangan dari berhijrah bersama Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam ke Madinah. Nu’aim dikatakan mampu membiaya kehidupan para janda dan anak yatim, sedang beliau juga tidak menghadapi tekanan dalam mengamalkan Islam.

b. Mereka berasa aman dalam menjalani kehidupan sebagai Muslim, bahkan mampu (berpeluang) pula melakukan perubahan di wilayah tempat kediamannya agar bersatu dengan Daulah Islamiyyah, maka hukum berhijrah bagi mereka adalah haram, kerana tuntutan untuk menyeru kepada Islam itu lebih diutamakan.

Pemurnian Semula Definisi Hijrah

Secara bahasa, hijrah bererti berpindah tempat. Adapun secara syar'i, para fuqaha mendefinisikan Hijrah sebagai: keluar dari darul kufur menuju Darul Islam. (An-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah al-Islâmiyyah, II/276).

Darul Islam dalam definisi ini adalah suatu wilayah (negara) yang menerapkan syariat Islam secara kaffah di dalam segala aspek kehidupan dan keamanannya berada di tangan kaum Muslimin (khalifah Islam). Sebaliknya, darul kufur pula adalah samada sebuah wilayah (negara) yang tidak menerapkan syariat Islam atau keamanannya bukan di tangan kaum Muslimin, atau kedua-duanya sekali. Definisi hijrah seperti ini diambil dari fakta Hijrah Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri dari Makkah (yang saat itu merupakan darul kufur) ke Madinah (yang kemudian menjadi Darul Islam).

Peristiwa Hijrah, setidak-tidaknya memberikan kesan signifikan pada pemikiran umat sebagai berikut :

Pertama: Pemisah antara kebenaran dan kebatilan; antara Islam dan kekufuran; serta antara Darul Islam dan darul kufur. Demikianlah menurut kata-kata Umar bin al-Khaththab RadhiAllahu ‘anhu ketika beliau menyatakan:

Hijrah itu memisahkan antara kebenaran dan kebatilan. [HR Ibn Hajar]

Kedua: Tonggak berdirinya Daulah Islamiyyah (Negara Islam) untuk pertama kalinya. Dalam hal ini, para ulama dan sejarawan Islam telah sepakat bahawa Madinah setelah Hijrah Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah berubah dari sekadar sebuah kota menjadi sebuah negara Islam; bahkan dengan struktur yang amat moden untuk ukuran zamannya [Cendekiawan Barat, Robert N. Bellah]. Ketika itu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri yang menjawat jawatan ketua negaranya.

Ketiga: Awal kebangkitan Islam dan kaum Muslimin yang pertama kalinya - setelah selama 13 tahun sejak kelahirannya, Islam dan kaum Muslimin terus dihina dan ditindas secara zalim oleh orang-orang kafir Makkah. Demikianlah sebagaimana pernah dinukilkan oleh Aisyah RadhiAllahu ‘anha.:

Dulu ada orang Mukmin yang lari membawa agamanya kepada Allah dan Rasul-Nya kerana takut difitnah. Adapun sekarang (setelah Hijrah) Allah Subhanahu wa Ta’ala benar-benar telah memenangkan Islam dan seorang Mukmin dapat beribadah kepada Allah Subhanahu wa ta’ala sesuka hatinya. [HR Bukhari]

Setelah Hijrahlah penindasan dan nasib malang umat Islam berakhir. Setelah Hijrah pula Islam bangkit dan berkembang pesat hingga tersebar ke seluruh Jazirah Arab serta mampu menembus pelbagai sempadan dunia. Setelah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam wafat, yakni pada masa Khulafaur Rasyidin, kekuasan Islam semakin melebar ke luar Jazirah Arab. Bahkan setelah Khulafaur Rasyidin -yakni pada masa kekhalifahan Umayyah, Abbasiyah, dan terakhir Utsmaniyah- kekuasaan Islam hampir meliputi 2/3 dunia. Islam bukan hanya berkuasa di Jazirah Arab dan seluruh Timur Tengah, tetapi juga tersebar ke Afrika dan Asia Tengah; bahkan mampu menembus ke jantung Eropah. Kekuasaan Islam malah pernah berpusat di Andalusia (Sepanyol).

Muhasabah Makna Hakiki Hijrah Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam

Sebagai muhasabah diri, marilah kita sama-sama menjawab persoalan-persoalan dibawah ini tanpa sikap prejudis atau hipokrasi :

• Apakah dari tahun ke tahun situasi umat Islam semakin baik?
• Sudahkah umat Islam mampu mengalahkan dan membinasakan kekufuran yang dipimpin oleh Amerika dan negara-negara Barat ketika ini?
• Sudahkah kita berusaha menunaikan kewajiban untuk mewujudkan kembali institusi Kekhilafahan Islam sekaligus membai’at seorang Khalifah bagi seluruh kaum Muslimin?
• Sudahkah seluruh hukum-hukum Allah diterapkan di tengah-tengah umat Islam?

Jika jawabannya, “Tidak,” jelas bahawa pergantian demi pergantian Tahun Hijrah selama ini tidak membawa apa-apa erti bagi umat Islam. Pergantian demi pergantian Tahun Hijrah bahkan mungkin hanya akan menjadi saksi dari kemunduran demi kemunduran umat Islam yang semakin mendalam. Jika itu yang terjadi, kita sebenarnya masih belum memahami firman Allah:

Kemuliaan itu hanyalah milik Allah, Rasul, dan orang-orang Mukmin [TMQ al-Munafiqun [63]: 8]

Dengan menumpukan pada tiga makna Hijrah pada perenggan sebelum ini, serta dikaitkan pula dengan situasi umat Islam muttakhir ini, kita tidak harus menafikan bahawa;

Pertama: Ketika ini umat Islam hidup di dalam darul kufur, bukan Darul Islam.

Keadaan ini menjadikan umat Islam membentuk masyarakat yang tidak Islami yakni masyarakat Jahiliyyah. Masyarakat Jahiliyyah tidak lain adalah masyarakat yang didominasi oleh pemikiran dan perasaan umum masyarakat yang tidak Islami serta sistem yang juga tidak Islami. Dalam konteks zaman Jahiliyyah moden ketika ini, kita melihat, yang mendominasi masyarakat adalah pemikiran dan perasaan sekular serta sistem hukum sekular, yang bersumber dari aqidah sekularisme; yakni aqidah yang menyingkirkan peranan agama dari kehidupan.

Ketika ini juga masyarakat didominasi oleh pemikiran demokrasi (yang meninggikan kedaulatan rakyat di atas kedaulatan Tuhan), Hak Asasi Manusia (HAM), nasionalisme (fahaman kebangsaan), liberalisme (kebebasan), permissivisme (fahaman serba boleh), hedonisme (fahaman yang menjadikan kesenangan duniawi/jasadiah sebagai orientasi hidup), feminisme (fahaman mengenai kesetaraan jantina, lelaki-wanita), kapitalisme, penswastaan, pasar bebas dan lain-lain.

Bahkan perasaan masyarakat pun didominasi oleh perasaan redha dan benci atas dasar Sekularisme. Mereka meredhai
• semua yang bersumber dari aqidah sekular dan sebaliknya membenci semua yang bertentangan dengan pandangan sekularisme;
• demokrasi (yang menjunjung tinggi kedaulatan manusia) dan sebaliknya membenci kedaulatan Tuhan untuk mengatur manusia;
• nasionalisme dan nation state (negara-bangsa) dan sebaliknya membenci ikatan ukhuwah Islamiyah dan kesatuan kaum Muslimin di bawah satu negara (Khilafah Islamiyyah);
• liberalisme (kebebasan), permissivisme (fahaman serba boleh), hedonisme (fahaman yang menjadikan kesenangan duniawi/jasadiah sebagai orientasi hidup), dan sebaliknya membenci keterikatan dengan syariah/hukum-hukum Allah dan menjadikan akhirat sebagai orientasi hidup mereka;
• sistem ekonomi kapitalisme yang berasaskan manfaat, ekonomi ribawi, penswastaan serta pasar bebas dan sebaliknya membenci sistem ekonomi Islam yang diasaskan kepada keadilan dan tanggungjawab;
• hukum-hukum kufur yang pincang dan sebaliknya membenci hukum-hukum Islam-seperti hukuman sebat, hukum rejam atau hukum potong tangan, yang mendatangkan keadilan dan rahmat bagi manusia.

Lebih dari itu, sistem yang mengatur umat Islam ketika ini tidak lain adalah sistem yang juga bersumber dari aqidah sekularisme. Sebaliknya, sistem Islam yakni sistem ekonomi, politik, pemerintahan, peradilan, hukuman, sosial, budaya mahupun pertahanan dan keamanan negara yang bersumber dari aqidah Islam-mereka tolak jauh-jauh. Itulah realiti masyarakat Jahiliyyah pada zaman moden muttakhir ini.

Kerana itu, usaha mengubah masyarakat Jahiliyyah menjadi masyarakat Islam, itulah di antara makna hakiki dari Peristiwa Hijrah Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang perlu kita realisasikan kembali saat ini. Caranya tidak lain hanyalah dengan mengalihkan dominasi pemikiran, perasaan dan sistem sekular di tengah-tengah masyarakat saat ini kepada pemikiran, perasaan dan sistem Islam. Tanpa berusaha mengubah ketiga unsur tersebut di tengah masyarakat Jahiliyyah ketika ini, pasti tidak akan berjaya.

Kedua: Ketika ini tidak ada satu pun negeri Islam yang layak disebut sebagai Daulah Islamiyah. Padahal kita tahu, di antara makna dari Peristiwa Hijrah Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah pembentukan Daulah Islamiyah, yang pada ketika itu ditegakkan di Madinah al-Munawwarah. Daulah Islamiyah yang dibentuk oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam (yang disebut sebagai Khilafah Islamiyah setelah kewafatan baginda) tidak lain adalah sebuah negara yang melaksana syariat Islam secara menyeluruh (kaffah) dalam seluruh aspek kehidupan tanpa satu pun ditinggal. Kerana itu, usaha membangun kembali Khilafah Islamiyah ini sepatutnya menjadi cita-cita bersama umat Islam yang betul-betul ingin mewujudkan kembali makna Hijrah dalam kehidupan mereka ketika ini.

Ketiga: Ketika ini keadaan umat Islam di seluruh Dunia Islam sangat memprihatinkan. Di negeri-negeri di mana kaum Muslim menjadi kaum minoriti, mereka ditindas oleh kaum kuffar. Kaum Muslim di Filipina (Moro), Thailand (Pattani), India (Kashmir) dan beberapa wilayah lain merupakan bukti nyata kesengsaraan dan ketertindasan umat Islam ketika ini. Bahkan di negeri-negeri yang kaya dengan kekayaan alam seperti di Afghanistan dan Iraq, dengan mudah negeri mereka diduduki (secara pencerobohan) dan dijajah oleh imperialisme barat terutamanya Amerika Syarikat. Mereka ditindas hanya kerana satu alasan, yakni kerana mereka Muslim; persis orang-orang kafir Quraisy dulu memperlakukan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya ketika di Makkah.

Mereka sama sekali tidak diberi kesempatan untuk menampilkan Islam, bahkan sekadar menampilkan identiti mereka sebagai Muslim. Sebaliknya, kaum Muslim yang tinggal di negeri-negeri di mana mereka majoriti sekali pun, hukum-hukum Islam tetap tidak boleh ditegakkan. Kaum Muslim yang berpegang teguh pada aturan-aturan Allah Subhanahu wa ta’ala disisihkan. Mereka yang berterusan dalam perjuangan menegakkan syariat Islam terus-menerus difitnah dengan berbagai label yang menjuruskan maksud seperti ekstremis, radikal, fundamentalis, bahkan teroris! Akibatnya, aspirasi Islam dihalang dan para pejuangnya pun diburu, disumbat ke penjara, bahkan dibunuh. Kaum Muslim saat ini hidup tertekan dalam "penjara besar", yakni negeri mereka sendiri, yang telah dikuasai oleh sistem kufur yang dikawal oleh negara-negara kafir Barat imperialis.

Posisi umat Islam yang pernah mengalami masa kejayaannya sejak zaman Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam sampai Kekhilafahan Ustmaniyah di Turki kini tinggal kenangan. Apalagi setelah Peristiwa 11 September 2001, Islam dan kaum Muslim betul-betul menjadi ‘bulian’ Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya. Padahal, kita tahu, di antara makna dari Peristiwa Hijrah Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah bangkitnya kaum Muslim setelah mereka lama tertindas dan dizalimi (lebih kurang 13 tahun) di negeri mereka sendiri, yakni Makkah, sebagaimana dinukilkan oleh atsar Aisyah ra. di atas.

Oleh kerana itu, agar kaum Muslimin dapat benar-benar mewujudkan kembali makna Hijrah yang sebenarnya, tidak lain, umat ini perlu segera melepaskan diri dari segala bentuk kezaliman sistem kufur dan kekuasaan negara-negara imperialis Barat kafir, yang nyata-nyata telah menimbulkan penindasan dan nasib malang kaum Muslimin dalam berbagai bidang kehidupan. Semua itu tidak lain hanya dapat diwujudkan dengan kembali berhijrah menuju Daulah Islamiyyah. Oleh kerana ketika ini masih belum ada wilayah kaum Muslimin yang secara menyeluruh menerapkan Islam, maka tugas seluruh kaum Muslimin adalah mewujudkannya kembali di tengah-tengah mereka. Caranya adalah tidak lain dengan mengubah negeri-negeri kaum Muslimin saat ini yang berada dalam kongkongan sistem kufur, yakni sistem kapitalisme-sekular, sekaligus menghimpunnya kembali dalam satu wadah negara Islam, di bawah kesatuan universal Khilafah Islamiyyah.

Khatimah

Hijrah tidak boleh diinterpretasi dengan hanya bermaksud kepada pembaharuan kalender Islam mahupun tarikh baru bagi umat Islam. Begitu juga Hijrah bukan hanya dimotivasi dengan garisan baru permulaan suatu azam yang meningkatkan taraf kehidupan diri melalui peraihan unsur-unsur duniawi. Hijrah juga bukanlah suatu titik perjalanan bagi suatu gagasan idea, tema atau teori. Penyalahertian sebegini adalah disebabkan oleh sikap pragmatik umat yang dibius oleh sekularisme hingga telah lupa kepada hakikat Hijrah sebenarnya.

Hijrah perlu dihayatii dan diambil pengajaran sebagai suatu teladan yang memberikan kesan membekas di benak kaum Muslimin sekaligus membina aksi umat tatkala ini menuju perubahan yang drastik. Perubahan yang syar’i hingga tidak menghiraukan lagi risiko ketundukan diri kepada aturan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hanya dengan mewujudkan kembali ketiga-tiga makna Hijrah di ataslah kekufuran akan lenyap digantikan oleh keimanan; kejahiliyyahan akan musnah ditutup cahaya Islam; darul kufur akan terkubur oleh Darul Islam; dan masyarakat Jahiliyyah pun akan berubah menjadi masyarakat Islam. Hanya dengan itu juga, insya Allah, umat Islam ketika ini akan berubah dari umat yang terhina menjadi umat yang akan meraih kembali posisi terhormat sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia; melakukan amar makruf nahi mungkar dan beriman kepada Allah. [TMQ Ali Imran [3]:110].

Perubahan sebeginilah yang pastinya membuahkan hasil yang sangat lumayan, yang dapat kita nikmati bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak, insya Allah !

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan deen mereka (Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur engkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”
[TMQ An-Nuur [24]:55]

Wallâhu a'lam bi ash-shawâb

No comments:

Post a Comment