Sunday 17 February 2013

SN053 - POLEMIK UNDANG- UNDANG KELUARGA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN

[SN053] Pada 26 September 2005, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 (”UUKI”) dengan tujuan memperbaiki Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan untuk memastikan agar ianya akan memupuk dan menegakkan keadilan. Isu ini mula hangat diperkatakan rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat apabila ia menimbulkan kontroversi setelah dikatakan mengandungi diskriminasi dan penindasan terhadap wanita Islam di negara ini. Susulan dari itu, Kabinet pada 11 Januari 2006 telah menangguhkan pewartaan UUKI ini yang mana menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, ia tidak akan diwartakan sehingga kajian semula mengenainya dilakukan [Utusan Malaysia 13/01/06].

Seperti biasa, peruntukan tentang poligami menjadi fokus utama oleh golongan-golongan feminis disamping beberapa isu lain yang dikatakan condong kepada lelaki. Pelbagai pihak terutamanya badan-badan bukan kerajaan (NGO-NGO) yang memperjuangkan hak-hak wanita telah mengkritik hebat peruntukan tersebut sehingga Perdana Menteri Malaysia ’terpaksa’ tunduk kepada tekanan dan memberi jaminan bahawa kajian semula akan dijalankan mengenainya. Sautun Nahdhah kali ini menjemput kaum muslimin dan muslimat untuk melihat dan menyelesaikan isu ini dari perspektif syara’ dan bukan penyelesaian dari mana-mana individu, menteri, NGO-NGO dan lain-lain sumber yang berasal selain dari Islam. Walaupun terdapat beberapa isu yang ingin kami perjelaskan, namun disebabkan keterbatasan ruang, kami hanya akan memfokuskan perbincangan kepada isu yang ’sentiasa mengerikan’ bagi sesetengah wanita iaitu poligami. Antara peruntukan yang diperdebatkan dan dikatakan mendiskriminasi kaum wanita (terutamanya oleh Sisters In Islam, SIS) yang terdapat dalam UUKI adalah seperti berikut [www.sistersinislam.org.my]:-

Hujah SIS 1 - Seksyen 23(3) dan 23(4)(a): Menjadikan poligami lebih senang terhadap lelaki
Peruntukan asal seksyen 23, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah ’patut dan perlu’ tetapi dipinda kepada ’patut atau perlu’. Ini bermakna suami hanya perlu memenuhi syarat ’keperluan’ untuk berpoligami dan tidak perlu membuktikan persoalan ’kepatutan’ kepada Mahkamah. Ini bertentangan dengan penghakiman Jawatankuasa Rayuan Syariah dalam kes Aishah vs Wan Mohd Yusof (1990)7 JH 152 yang menekankan bahawa kesemua syarat di bawah sub-seksyen ini sama pentingnya dan hendaklah dibuktikan berasingan.

Kekeliruan SIS :

a) SIS nampaknya tidak bersikap adil di mana mereka hanya memetik sebahagian dari peruntukan tersebut dan terus membuat penafsiran. Peruntukan penuh Seksyen 23(4) berbunyi ”bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandang kepada antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, (i)kemandulan, (ii)keuzuran jasmani, (iii)tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, (iv)sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada”; Para pengamal undang-undang menginterpretasi bahawa bahawa persoalan ”patut atau perlu” tersebut hanya timbul di dalam 4 perkara di atas sahaja dan tidak dalam perkara-perkara lain. Maksudnya, si suami hanya perlu membuktikan bahawa dia ”patut atau perlu” kahwin sekiranya permohonan poligami tersebut adalah berdasarkan 4 alasan tadi (Tn. Hj. Zainal Rijal – Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, di seminar anjuran JIM pada 15/01/06). Jadi tidak akan timbul soal jika kes yang sama seperi kes Aishah vs Wan Mohd Yusof muncul, maka Mahkamah perlu membenarkan poligami, sebab alasan permohonan poligami dalam kes ini tidak termasuk dalam mana-mana 4 tadi. Nampaknya SIS di sini tidak memahami seksyen tersebut dengan betul.

b) Namun demikian, sekiranya SIS betul dalam penafsirannya sekalipun, soalan yang perlu ditanya adalah ”apa salahnya dari segi hukum syara’ sekiranya seorang lelaki ingin berpoligami dengan wanita yang dicintainya seperti di dalam kes Aishah vs Wan Mohd Yusof?” Di dalam kehidupan ini, kita perlu menerima hakikat bahawa ada golongan wanita yang memang jatuh cinta pada suami orang walaupun mereka mengetahui bahawa si lelaki telah berpunya tetapi mereka tetap ingin berkahwin dengan lelaki tersebut. Malahan di dalam banyak kes, ramai wanita hidup bahagia walaupun bermadu. Kenapa SIS tidak membela atau memperjuangkan hak wanita yang ingin bermadu ini, mereka inikan juga wanita, yang memerlukan sokongan? Sebagai pembela kaum hawa, SIS sepatutnya membela nasib golongan ini dengan memberi sokongan kepada mereka, seterusnya tunjuk ajar kepada mereka bagaimana cara hidup bermadu sebagaimana yang ditunjukkan oleh isteri-isteri Rasulullah selaku ummul mukminin.

c) SIS juga langsung tidak menjelas dan menekankan keseluruhan Sekyen 23(3) yang telah mengetatkan lagi syarat bagi suami yang ingin berpoligami. Peruntukan baru ini jauh lebih ketat berbanding undang-undang lama kerana di bawah undang-undang baru ini, setiap permohonan untuk kebenaran berpoligami, mahkamah hendaklah memanggil isteri sedia ada, bakal isteri, wali bakal isteri dan pihak lain yang berkenaan untuk memberi keterangan bersabit permohonan suami itu. Peruntukan ini tidak ada dalam undang-undang lama. Ramai pengamal undang-undang berpendapat bahawa ini jauh lebih susah kerana secara logiknya tidak ada ibu bapa yang mahu anak gadis mereka bernikah dengan suami orang dan bakal isteri pun tidak akan tertipu dengan mudah. Sebagai NGO yang memperjuangkan gender equality, SIS sepatutnya bersikap ‘lebih adil’ dalam soal ini.

Hujah SIS 2 - Seksyen 23(9): Memaksa isteri memilih nafkah atau pembahagian harta sepencarian apabila suami berpoligami

Seksyen ini yang bertujuan untuk melindungi isteri sedia ada dalam perkahwinan poligami boleh mendatangkan ketidakadilan kerana ia sebenarnya memaksa seorang isteri memilih sama ada untuk memohon perintah nafkah atau memohon perintah pembahagian harta sepencarian. Ini satu ketidakadilan dan tiada sebarang asas dalam perundangan Islam kerana adalah menjadi satu kewajipan seorang suami untuk menanggung isterinya. Hak isteri untuk menuntut pembahagian harta sepencarian adalah untuk melindungi kepentingan isteri sedia ada dan anak-anak dan juga supaya keadilan terlaksana dalam perkahwinan poligami. Oleh itu, adalah tidak munasabah seorang isteri dipaksa membuat pilihan antara salah satu jaminan kewangannya. Dia berhak terhadap kedua-duanya mengikut perundangan Islam.

Kekeliruan SIS : Sekali lagi SIS telah melakukan tafsiran yang salah berkenaan peruntukan tersebut. En. Muhamad Bin Burok (Presiden Persatuan Peguam Syar’ie Malaysia menjelaskan [Utusan Malaysia 17/01/06] bahawa ”Isu ini timbul kerana kurangnya pengetahuan tentang prinsip yang digunakan bagi menafsir sesuatu undang-undang itu. Undang-undang hendaklah ditafsirkan mengikut panduan yang telah diterima pakai dalam bidang perundangan dan bukannya pemahaman orang awam. Jika kita perhalusi Seksyen 23 (9) undang-undang tersebut hanya terdapat perkataan `atau' antara para (a) dan (b), tidak ada perkataan `sama ada' sebelum para di atas. Perkataan `atau' ini merujuk kepada permohonan isteri dan bukannya kuasa mahkamah. Kes-kes yang diputuskan di negeri Selangor yang telah mewartakan undang-undang yang sama pada tahun 2003 menjadi bukti bahawa tiada paksaan memilih salah satu daripada tuntutan tersebut.”

Hujah SIS 3 - Seksyen 23(9)(b): Hak suami untuk menuntut harta sepencarian daripada bahagian harta isterinya apabila dia berpoligami

Implikasi dari pindaan ini adalah suami akan dapat menuntut supaya harta isteri sedia ada dibahagikan kepada suami, atau rumah yang mereka diami dijual apabila suami bernikah lagi untuk menampung gaya hidup barunya atau atas apa jua alasan.

Kekeliruan SIS : Dalam menjawab isu tersebut, En. Muhamad Bin Buruk seterusnya menjelaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar. ”Undang-undang jelas menyatakan isteri dan suami boleh membuat tuntutan harta sepencarian (maksudnya bukan harta isteri) Bagaimanapun, prosesnya bukanlah begitu mudah. Pemilikan harta secara mutlak dalam tempoh perkahwinan perlu dibuktikan terlebih dahulu di samping sumbangan secara langsung atau tidak terhadap pemerolehan harta tersebut juga menjadi asas penting dalam membuat perintah pembahagian harta”.

SIS sekali lagi nampaknya hanya mengelirukan dan menakut-nakutkan wanita dengan tafsiran yang salah walhal tafsiran yang lebih tepat yang dijelaskan oleh pakar undang-undang adalah jelas berbeza dengan tafsiran SIS.

Secara keseluruhan, boleh dikatakan bahawa kesemua seksyen lain (selain poligami) turut telah disalahtafsir oleh golongan feminis ini. Apa yang jelas, tafsiran mereka hanya menyemarakkan lagi api kebencian kaum wanita terhadap lelaki. Dilihat dari segi penafsiran undang-undang itu sendiri, telah jelas kesalahan mereka dalam memahami dan menafsir peruntukan-peruntukan tersebut. Ini belum lagi dinilai dari sudut pandangan sebenar Islam. Kami bukanlah berniat dan berminat untuk membandingkan pandangan manakah yang lebih tepat dalam memberi tafsiran, tetapi yang ingin kami perjelaskan ialah, inilah akibat apabila aqidah sekularisme diterapkan di negeri kaum muslimin, hukum Allah itu telah dijadikan bahan perdebatan demi perdebatan. Ia telah diperdebatkan mengikut hawa nafsu, terbuka kepada kritikan, kelulusan dan sebagainya (dsb), malah boleh dipinda mengikut selera masing-masing. Semoga Allah mengazab mereka yang merubah hukumNya dengan azab yang pedih. Na’uzubillahu min zalik.

Bagaimana masalah sebegini boleh muncul?

Sebelum menjawab persoalan UUKI yang dilontarkan oleh SIS dan juga lain-lain pihak dari pandangan sebenar Islam, perlu diperjelaskan terlebih dahulu punca masalahnya. Sesuatu penyakit tidak akan dapat disembuhkan dengan hanya mengubat symptoms dan signs, yang perlu dicari adalah apakah punca sebenarnya penyakit itu. Seperti yang kita ketahui Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang mana kedaulatan terletak di tangan rakyat. Suara rakyat diwakilkan kepada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana mereka ini mendapat mandat untuk membuat undang-undang (baca : hukum) untuk diterapkan di dalam kehidupan, berasaskan konsep yang diperkenalkan oleh sikafir, Abraham Lincoln, the rule of the People, by the People, for the People. Bila undang-undang ini dibuat oleh manusia sudah semestinya akan ada manusia lain yang tidak bersetuju, maka perlu dilakukan perubahan demi perubahan. Inilah cara hidup (ideologi) negara demokrasi. Undang-undang dan peraturan hidup, halal dan haram, baik atau buruk, terpuji atau tercela terletak di tangan manusia. Bila manusia diberi hak mengundi (dalam Parlimen atau DUN) untuk hukum syarak, maka hukum syara’ menjadi wajib dibuat oleh manusia, dibahaskan, dipersetujui oleh majoriti, diluluskan dan seterusnya digazetkan. Dengan kata lain, manusia boleh memilih sebebas-bebasnya dalam hendak menerapkan undang-undang, termasuklah hukum Islam. Yang pastinya manusia boleh memilih hukum Allah manakah yang perlu diluluskan, sesuai dengan kehendak mereka. Inilah apa yang terjadi sekarang, hukum Allah itu berada di tangan manusia, maka ia terbuka untuk diubah, dipinda, disorong papan dan ditarik papankan. Umat Islam betul-betul telah diracun dengan pemikiran kufur sekular dalam menentukan peraturan hidup mereka. Sedangkan di dalam Al-Qur’anul Karim, Allah berfirman,

”Sesungguhnya hukum itu ditangan Allah.” [TMQ Yusuf (12) : 40].

Antara yang menjadi punca masalah juga adalah sikap segelintir umat Islam yang cuba membela Islam, tetapi dengan cara yang salah. Mereka cuba untuk ’mempertahankan Islam’ tetapi keliru di dalam perjuangan. Di antara serangan Barat ke atas Islam termasuklah isu ini. Islam dikatakan zalim kerana menindas wanita, tidak memberi hak kepada wanita, tiada persamaan gender dan sebagainya. Ideologi Kapitalis yang memperjuangkan materialistik telah dihunjamkan ke dalam benak kaum muslimin, akibatnya, yang menjadi ukuran persamaan dalam perjuangan mereka adalah persamaan material dan mereka mula berusaha untuk mengubah hukum Allah yang Qath’i, contohnya dalam hal pewarisan di mana hak wanita adalah sebahagain dari hak lelaki (2:1). Golongan feminis termasuk SIS datang dengan sejumlah penafsiran baru dengan mempertikaikan hukum hak perwarisan ini kononnya hanya berlaku kerana di zaman Rasulullah wanita tidak berkerja, sekarang realiti telah berubah. Oleh itu mereka berusaha untuk menyamatarafkan lelaki dengan wanita dalam perkara hak. Tetapi yang peliknya mereka tidak pernah meminta tanggungjawab yang sama sebagaimana lelaki. Kami tidak menafikan realiti sekarang ramai wanita yang telah bekerja, malahan ada yang gaji mereka lebih tinggi dari gaji lelaki/suami. Tetapi realiti tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Sekiranya kita berhukum menggunakan logik aqal kita berdasarkan realiti, setujukah feminis sekiranya kita katakan hukum maskahwin dan nafkah pun patut berubah. Perempuan sepatutnya lebih bertanggungjawab membayar maskahwin (yang akan ditetapkan oleh pihak lelaki) apabila ingin berkahwin. Dan perempuan sepatutnya bertanggungjawab memberi nafkah kepada suami dan anak-anak (sebab mereka telah bekerja). Kenapa ini tidak diperjuangkan oleh SIS dan lain-lain golongan feminis atas alasan’gender equality’? Hal ini sebenarnya membuktikan bias gender SIS terhadap wanita. Slogan gender equality dsb ini adalah slogan ke arah memaksiati Allah sebagai Pencipta kaum wanita dengan hak dan tanggungjawab yang telah Dia tetapkan. Wahai feminis, gunalah aqal yang Allah anugerahkan untuk memahami hukum-hukumNya, bukan untuk merubah hukumNya mengikut hawa nafsu.

Sekiranya kita mengkaji sejarah, fahaman feminis ini lahir di Barat. Aqidah sekular yang di anut oleh kafir Barat telah menyebabkan mereka membuat undang-undang dan peraturan mengikut aqal mereka yang disesuaikan dengan hawa nafsu pembuat peraturan tersebut. Undang-undang ciptaan manusia ini sememangnya tidak adil dan tidak akan pernah adil, bersifat menindas dsb. Hasil dari penindasan dan ketidakadilan peraturan buatan manusia inilah munculnya gerakan-gerakan feminis ini. Yang pasti, kemunculannya adalah hasil dari penindasan Barat terhadap wanita, yang melahirkan reaksi dari pihak wanita untuk bergerak atas dasar kebebasan demi membela hak mereka dengan menggunakan slogan gender equality. Akhirnya pemikiran kesamaan jantina ini telah mewarnai ideologi kapitalis. Propanganda barat ini kemudian berkumandang di negeri umat Islam dengan corak yang sama, digunakan untuk menyerang ideologi Islam yang dikatakan menindas wanita. Kemudian muncullah tokoh ’feminis Islam’ yang cuba membela wanita dan kemudian cuba menafsirkan Islam, yang mana mereka ini sebenarnya terperangkap dengan ideologi Barat. Mereka seterusnya menakwilkan nas sesuai dengan hawa nafsu mereka.

Ideologi sekularisma inilah yang telah menjadi pemangkin kewujudan mereka dalam masyarakat. Fenomena yang sama kita lihat di negara kita, hasil dari undang-undang ciptaan manusia yang dibuat di Parlimen yang tidak adil inilah yang telah menjadi kesinambungan perjuangan mereka. Adanya penerapan Islam yang salah oleh pihak pemerintah telah memperparahkan lagi keadaan ini. Kelemahan Mahkamah Syariah menangani kes-kes keluarga seperti kes perceraian yang memakan masa bertahun-tahun (ada yang sampai 7 tahun) telah menyebabkan Islam dipandang sebagai menzalimi penganutnya. Walhal, perceraian bukanlah suatu prosedur yang rumit sekiranya undang-undang Islam yang sebenar dipraktiskan. Kelemahan sistem yang sedia ada dalam urusan pemfailan dan permohonan cerai dsb telah menyebabkan kaum wanita teraniaya. Prosedur perceraian, poligami dsb yang sengaja diperketatkan atas alasan ’keadilan’ ternyata menimbulkan lagi banyak ’ketidakadilan’ dan apa yang lebih buruk, ianya bertentangan dengan kemubahan hukum poligami itu sendiri.

Itu adalah antara punca-punca yang telah menyebabkan munculnya masalah ini. Dan selagi sistem yang ada tidak ditukar kepada sistem Islam spenuhnya, maka kita akan menyaksikan isu yang sama akan berulangan, dari masa ke semasa, tanpa kesudahan. Apabila logik aqal manusia mengatasi perintah dan larangan Yang Maha Esa, maka keadilan yang dicari tidak akan pernah dapat direalisasikan.

Pandangan Islam berhubung isu yang dibangkitkan

Allah menyerukan segenap umat manusia dengan berbagai macam taklif. Manusia telah dijadikanNya sebagai sasaran khithab (seruan) dan taklif. Kepada manusialah Allah menurunkan syariatNya. Dia juga membangkitkan manusia dan menghisab amal perbuatannya. Dia juga telah menciptakan syurga dan neraka untuk manusia. Jadi, Allah telah menjadikan manusia baik lelaki atau wanita sebagai objek pelaksanaan berbagai macam taklif yang datang dariNya.

Allah menciptakan manusia baik lelaki mahupun wanita dengan suatu fitrah yang khas, yang berbeza dengan haiwan. Wanita adalah seorang manusia, sebagaimana halnya lelaki. Masing-masing tidak dapat dibezakan dari aspek kemanusiaannya. Yang satu tidak melebihi yang lainnya dalam hal ini. Allah telah mempersiapkan kedua-duanya untuk mengharungi kancah kehidupan dunia sesuai dengan batas-batas kemanusiaannya. Lelaki dan wanita telah ditakdirkan untuk hidup bersama dalam sebuah masyarakat. Allah juga telah menetapkan bahawa kelangsungan hidup keturunan manusia bergantung kepada interaksi dan hubungan kedua lawan jenis tersebut. Oleh kerana itu, kedua-duanya harus sama-sama dipandang sebagai manusia, lengkap dengan segala kelebihan yang dimilikinya dan segala kemampuan yang mendukung kehidupannya.

Allah menciptakan beberapa perbezaan fizikal di antara lelaki dan wanita dan hukum yang berlainan pula telah timbul dari perbezaan tersebut. Wanita umpamanya diciptakan dengan keistimewaan dan kebolehan mengandung dan menyusukan, yang tidak ada pada lelaki. Wanita dikecualikan dari solat dan puasa semasa haidh dan nifas, yang juga tidak ada pada lelaki. Wanita dibolehkan memakai emas dan sutera yang diharamkan bagi lelaki, wanita mempunyai daya tarik yang Allah ciptakan yang mana lelaki cinta kepadanya dan pelbagai keistimewaan lain lagi. Semua yang Allah ciptakan itu tidak boleh diubah oleh manusia walaupun manusia menghendakinya. Ini adalah ketentuan Allah yang kita tertakluk kepadaNya. Allah telah menetapkan hukum-hukum perkahwinan yang tertentu ke atas kedua jenis kelamin tersebut. Masing-masing diberi hak dan tanggungjawab mengikut apa yang Dia kehendaki. Lelaki dibolehkan memiliki isteri seramai empat orang yang mana hak tersebut tidak diberikan kepada wanita. Tanggungjawab mas kahwin dan nafkah dibebankan ke atas lelaki yang mana tanggungjawab tersebut tidak diletakkan ke atas wanita dan seterusnya. Ini juga tidak boleh dipersoalkan atau dicari illat (sebab ketentuan hukum) atasnya. Di dalam soal perkahwinan, Allah azza wa jalla telah menetapkan hukum yang mubah bagi seorang lelaki untuk berpoligami, sebagaimana firmanNya,

”..Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat” [TMQ an-Nisa (4) : 3]

Memang benar Islam itu memerintah manusia supaya berlaku adil, tetapi keadilan itu mesti dinilai mengikut hukum syara’ dan bukan mengikut aqal manusia. Apabila aqal dijadikan standard ukuran keadilan, maka oleh sebab itulah kita menyaksikan perbalahan manusia di dalam menyelesaikan sesuatu isu kerana masing-masing menggunakan logik aqal masing-masing di dalam mengukur keadilan. Sebagaimana yang berlaku sekarang, keadilan dalam berpoligami diletak di bawah bidang kuasa manusia, sebab itulah timbul pertikaian. Di dalam mengukur apakah keadilan, aqal pembuat undang-undang di Kelantan berbeza dengan aqal pembuat undang-undang di Perlis, di Selangor berbeza dengan Terengganu dan seterusnya. Walhal jika semua aqal digunakan untuk memahami dan menetapkan keadilan berdasarkan hukum syara’, maka keadilan sebenar insyaAllah akan dapat dicapai, dan polemik yang berlaku sekarang tidak akan timbul.

Inilah apa yang kita saksikan apabila sistem demokrasi ciptaan manusia diterapkan, undang-undang Allah menjadi bahan mainan dan terletak di tangan manusia untuk kelulusan. Sistem sekular yang telah mendarah daging dalam tubuh umat Islam menyebabkan para penguasa atau pemerintah menyelesaikan segala masalah (termasuk masalah hukum) menggunakan pendapat majoriti. Perdana Menteri Malaysia apabila ditanyakan berkenaan masalah ini, berkata, ”Peguam Negara perlu berjumpa semua pihak yang berkepentingan dalam isu berkenaan termasuk NGO wanita untuk menyelesaikannya dengan sebaik mungkin. Peguam Negara juga perlu berjumpa pertubuhan Sisters in Islam yang aktif mengemukakan masalah yang terdapat dalam rang undang-undang yang baru dipinda itu.” Beliau seterusnya melanjutkan ”Saya juga telah mencadangkan kepada AG (Peguam Negara) supaya mereka memanggil kumpulan pakar dalam hal berkaitan dengan undang-undang Islam di UIA (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)” [Utusan Malaysia 14/01/06]

Allah subhanahu wa ta’ala berfirman,

”Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian, yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”. [TMQ an-Nisa (4) : 59]

”Maka demi Rabbmu, mereka itu (pada hakikatnya) tidak beriman sebelum mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa di hati mereka suatu keberatan terhadap keputusan yang engkau berikan, dan mereka menerima (pasrah) dengan sepenuhnya”. [TMQ an-Nisa (4) : 65]

Wahai kaum muslimin yang dimuliakan oleh Allah, UUKI ini hanyalah sebahagian kecil dari undang-undang ciptaan manusia dari beratus-ratus lagi Akta dan Enakmen ciptaan Barat yang ada di Malaysia dan lain-lain negeri umat Islam. Kita harus sedar bahawa pihak kafir Barat telah menancap sedalam-dalamnya undang-undang dan pemikiran kufur mereka agar umat Islam tidak dapat keluar dari penjara pemikiran yang telah mereka bina. Sedarlah wahai saudaraku...

Khatimah

Umat Islam adalah umat yang mulia, tetapi kemuliaan itu hanya akan kembali kepada mereka apabila umat Islam melemparkan segala tsaqafah Barat yang kufur yang membelenggu mereka dan menggantikannya dengan pemikiran Islam yang lahir dari aqidah Islam. Hukum-hakam Islam yang cuba diterapkan dalam sistem perundangan yang berteraskan undang-undang Barat bukan sekadar tidak dapat menyelesaikan masalah umat Islam samada dari aspek isu kekeluargaan dan aspek muamalat yang lain seperti ekonomi, pendidikan, sosial dsb, akan tetapi ia semakin mengundang kekeliruan dan menjauhkan umat Islam dari agamanya sendiri. Wahai kaum muslimin, sesungguhnya Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya. Sesungguhnya Allah meletakkan kemuliaan sesorang itu dengan Islam. Bersyukurlah kita dijadikan oleh Allah sebagai seorang muslim. Sedarlah wahai saudaraku, bahawa Allah menjadikan kita lelaki dan perempuan tanpa pilihan kita. Kita tidak pernah meminta untuk dilahirkan sebagai lelaki atau perempuan. Allah yang Maha Pencipta melahirkan kita mengikut kehendakNya. Tunduk dan patuhlah kepada ketentuan tersebut. Buktikanlah tanda ketundukan dan kesyukuran kita itu dengan kita tunduk patuh kepada segala perintah dan larangan Pencipta kita, termasuklah di dalam aspek pemerintahan, dengan menerapkan kembali sistem pemerintahan Islam yang telah diruntuhkan oleh kafir Barat. Hanya dengan mendirikan semula Daulah Khilafah sahajalah yang akan dapat memastikan seluruh hukum-hakam Islam diterapkan secara menyeluruh dan bersepadu yang tidak akan ada pertentangan sebagaimana perundangan bersumberkan aqal manusia yang ada pada hari ini, yang sentiasa membawa manusia ke kancah kehinaan dan kemelaratan.

”Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Thaaha (20):124]

Ya Allah! saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan...
Amin, ya Rabbal ’alamin.

No comments:

Post a Comment